KETIKA sedang minum petang di kedai mamak, tiba-tiba Shukri atau kami gelar Pak Ngah berkata, “Pojie, jom ride makan durian Sabtu ini. Ada satu tempat best di Changkat Jering. Memang mantap!”
Ibarat pucuk dicita ulam mendatang. Program dirancang, senarai pun dibuka kepada ahli grup yang lain. Hasilnya, 15 buah motosikal berkuasa besar menyertai Ride PAPA Durian Attack @ Changkat Jering pada 20 Jun lepas.
Seawal jam 7.30 pagi, sebahagian daripada peserta berkumpul di R&R Rawang sebelum bertemu di R&R Behrang. Konvoi memulakan perjalanan dalam keadaan cuaca yang cukup baik.
Langit cerah dan jalan yang tenang menjadikan tunggangan lebih selesa serta menyeronokkan. Cip Wari yang menunggang BMW RT1200 mengetuai konvoi diikuti rakan-rakan lain dengan mematuhi had laju dan keselamatan.
Semasa dalam perjalanan, konvoi terpaksa memperlahankan rentak apabila motosikal BMW 800 GS milik Ayib mengalami masalah tayar pancit. Kebetulan ada bengkel yang sudah buka pagi itu. Nasib baik!
Selepas masalah Ayib selesai, kami meneruskan perjalanan sebelum singgah di R&R Simpang Pulai untuk minum pagi. Selepas mengisi minyak, kami meneruskan perjalanan ke lubuk durian.
Berlaku insiden lucu. Aki yang menunggang Yamaha MT09 tersilap mengikuti konvoi masuk ke Tol Ipoh. Mujur dia sempat keluar dan kembali mengikuti dari belakang.
Menjelang tengah hari, kami sampai di sebuah dusun di Changkat Jering. Kami disambut mesra oleh tuan rumah, lengkap dengan pemandangan yang pastinya membuatkan peminat buah-buahan tempatan kecur liur - empat bakul besar durian segar!
Tidak sekadar durian, meja hidangan turut dihiasi dengan lambakan buah-buahan bermusim yang lain seperti manggis yang manis, langsat dan rambutan yang ranum.
Kejutan tidak berhenti di situ. Tuan rumah turut menjamu kami dengan pelbagai hidangan laksa utara, pulut durian yang lemak dan cendol, menjadikan suasana begitu istimewa. Tempat solat turut disediakan.
Pada saat ini, perbualan tidak lagi berkisar tentang spesifikasi motosikal atau kelajuan jentera, sebaliknya dipenuhi dengan perkongsian cerita pengembaraan hidup dan gelak tawa yang mengeratkan persahabatan.
Aktiviti seperti ini membuktikan bahawa hobi menunggang bukan sekadar mengenai kelajuan atau jarak perjalanan. Sebaliknya, ia menjadi medium untuk merapatkan hubungan, mengeratkan silaturahim dan mencipta kenangan bersama.
Selepas makan durian sampai puas dan menunaikan kewajipan, sekitar jam 3 petang, tiba masanya untuk bergerak pulang. Sebahagian peserta meneruskan perjalanan ke Pulau Pinang, manakala sebahagian lagi kembali ke Kuala Lumpur.
Namun, adat berbumbungkan langit, cuaca tidak selalunya cerah. Perjalanan pulang menguji ketahanan mental dan fizikal apabila hujan lebat mula turun mencurah-curah bermula dari Bidor sehinggalah ke Rawang.
Jarak penglihatan yang terhad dan permukaan jalan yang licin memaksa tumpuan diberikan sepenuhnya.
Malah, kami langsung tidak sempat singgah di bawah jambatan untuk memakai baju hujan, menyebabkan kami terpaksa meredah lebuh raya dalam keadaan basah lencun.
Bagaimanapun, bagi seorang penunggang motosikal sejati, titisan hujan, tayar pancit dan cabaran jalan raya bukanlah satu sekatan, sebaliknya ia adalah 'warna-warni' yang melengkapkan sesebuah memori perjalanan.
“Kental pun dah jadi kentang lunyai sampai rumah tapi seronok mandi hujan berdua atas motor. Bukan selalu dapat mandi berdua. Memori tak boleh dibeli di mana-mana,” kata Aki sambil ketawa.
Semoga ukhuwah dan silaturahim yang dipupuk melalui deruman enjin dan kemanisan raja buah ini akan terus mekar, kekal utuh dan menjadi lebih bermakna pada masa-masa akan datang.
Insya-ALLAH, kita berjumpa lagi pada ride seterusnya!