ALOR GAJAH – Tindakan seorang lelaki memecahkan tabung masjid dan mencuri beg tangan milik seorang jemaah di tiga masjid sekitar daerah ini awal bulan lalu membawa padah apabila didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat.
Muhammad Riduan Abdullah, 28, mengaku bersalah di hadapan Majistret Dr Teoh Shu Yee atas tiga pertuduhan, termasuk melakukan perbuatan khianat.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan khianat dengan memecahkan pintu gelangsar bahagian dapur Masjid Al-Najihin, Kampung Padang Sebang, Gadek pada kira-kira jam 5.30 pagi, 7 Jun lalu.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa memecah masuk dan mencuri wang daripada tabung kutipan pembelian van jenazah di Masjid Al-Qaniteen, Tanjung Rimau pada jam 5 petang, hari yang sama.
Sementara itu, bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa mencuri sebuah beg tangan milik seorang wanita di ruang solat wanita Masjid Ar-Rasyidin, Kampung Jelatang pada jam 4.45 petang, 8 Jun lalu sehingga menyebabkan kerugian dianggarkan sebanyak RM2,200.
Kesalahan khianat didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan, manakala dua lagi pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 380 kanun yang sama.
Peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Ishak Kari, memohon hukuman minimum dengan alasan anak guamnya hidup sebatang kara dan tidak mempunyai pekerjaan tetap.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambil kira keseriusan kesalahan yang dilakukan.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM1,400 atau penjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda bagi pertuduhan pertama.
Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh dijatuhi hukuman penjara selama 10 bulan bagi setiap pertuduhan.
Mahkamah turut memerintahkan semua hukuman penjara dijalankan secara berasingan, berkuat kuasa dari tarikh hukuman dijatuhkan.
Terdahulu, perbuatan suspek melarikan beg tangan milik seorang penuntut universiti ketika mangsa sedang menunaikan solat Asar di Masjid Ar-Rasyidin, Kampung Jelatang, tular di media sosial menerusi video berdurasi 23 saat.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ahmad Abu Bakar berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 4.45 petang di ruang solat wanita.
Menurutnya, mangsa yang berusia 19 tahun ketika itu sedang menunaikan solat seorang diri dan meletakkan beg tangan yang mengandungi dokumen serta barangan peribadi di hadapan sejadah sebelum menyedari ia hilang.