Salah faham punca lelaki dipukul, dua pihak berdamai

Iklan
Tangkap layar video tular memaparkan insiden seorang lelaki menyerang individu lain selepas berlaku perselisihan faham di atas jalan raya.

MELAKA - Insiden seorang lelaki dipukul pemandu sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat Lebuh AMJ, Kandang yang tular di media sosial dipercayai berpunca daripada salah faham serta ketidakpuasan hati ketika berada di jalan raya.

Pemangku Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintenden Halim Abas berkata, siasatan awal telah dijalankan terhadap kedua-dua individu yang terlibat dalam kejadian tersebut.

Iklan
Iklan

Menurutnya, hasil siasatan mendapati pertelingkahan itu tercetus susulan salah faham ketika berada di jalan raya sehingga membawa kepada insiden berkenaan.

“Pihak pengadu dan suspek telah dipanggil bagi memberikan keterangan dan kedua-dua pihak telah mencapai persefahaman serta berdamai secara baik.

Iklan

“Mereka juga memaklumkan tidak berhasrat untuk memanjangkan perkara itu dan telah menyelesaikannya secara aman,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Tangkap layar video yang tular.

Iklan

Beliau berkata, kedua-dua pihak turut menzahirkan kekesalan atas kejadian yang berlaku dan berjanji untuk lebih berhati-hati serta mengawal emosi ketika berada di jalan raya pada masa hadapan.

Bagaimanapun, Halim menegaskan bahawa sebarang perbuatan yang boleh mengganggu ketenteraman awam atau menyalahi undang-undang tetap akan dinilai dan diambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mengamalkan sikap sabar, bertolak ansur dan mengawal emosi ketika memandu bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Katanya, polis turut menasihatkan orang rama supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang boleh menjejaskan mana-mana pihak yang terlibat dalam insiden tersebut.

Terdahulu, tular insiden membabitkan seorang lelaki yang gagal mengawal kemarahan bertindak mengasari individu lain sebelum ditenangkan isteri yang mendukung bayi.