KAJANG - Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu antara 37 saksi yang direkod keterangan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan isu kelewatan pengagihan bekalan Baja Sebatian Tambahan (Baja Padi 3) kepada pesawah di Kedah.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, keterangan Mohamad Sabu dirakam pada 16 September lalu di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
"Seramai 37 orang saksi telah dipanggil bagi dirakam kenyataan mereka yang merangkumi Menteri KPKM selain Ketua Setiausaha KPKM, Datuk Isham Ishak yang telah dirakam keterangan pada 15 September lalu juga di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
"Seramai 29 individu lagi terdiri daripada Lembaga Perolehan KPKM; Jawatankuasa Penilai Tender Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA); Pengurus Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan penerima baja di PPK serta kakitangan MADA," katanya kepada pemberita dalam Program Menembak SPRM Bersama Media di Penjara Kajang di sini pada Sabtu.
Tambah beliau, selain itu lapan lagi individu lagi merupakan pekerja-pekerja Syarikat Taaveekun Manufacturing Sdn Bhd (TMSB), Syarikat Sinergi Perdana Sdn Bhd serta Permodalan Risda Berhad.
Abd Halim berkata, siasatan awal mendapati antara kegagalan pembekalan baja mengikut jadual berpunca daripada keupayaan modal syarikat yang terhad hingga menjejaskan proses bekalan baja tersebut dilaksanakan dalam tempoh yang sepatutnya.
Jelasnya, setakat ini, fokus siasatan adalah di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menggunakan dokumen palsu sebagai tulen secara curang atau tidak jujur.
Beliau berkata, pasukan siasatan kini sedang giat melakukan analisa ke atas penyata akaun bank serta dokumen kewangan dan lejar syarikat bagi tahun 2023 hingga 2025, menyemak pengesahan Baki Kemudahan Kredit (JBKK) bernilai RM22.07 juta serta membuat perbandingan Sijil Analisa Makmal (COA) dengan laporan makmal berkaitan.
"Selain itu, siasatan juga turut memberikan tumpuan kepada aspek kelemahan tatakelola yang menjadi antara lain punca isu kelewatan pembekalan baja itu.
"Hasil dapatan kelemahan tatakelola itu akan dijadikan asas penambahbaikan sistem dan prosedur agensi yang berkenaan," katanya.
Menurut Abd Halim, berdasarkan penemuan awal siasatan, seorang Pengarah Urusan syarikat telah ditahan pada 12 September lalu dan direman empat hari sehingga 16 September.
"Individu tersebut telah dibebaskan dengan jaminan SPRM," katanya.
SPRM Kedah sebelum ini menerima aduan daripada Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PESAWAH) pada 26 Ogos lalu sebelum satu kertas siasatan dibuka bagi menyiasat aduan tersebut berhubung kelewatan pembekalan baja yang dilantik KPKM untuk memenuhi keperluan kawasan MADA berkeluasan 100,000 hektar.