Sindiket pusat panggilan sasar warga Jepun tumpas

Iklan
Polis Perak akan terus mengambil tindakan proaktif bagi membanteras aktiviti pusat panggilan yang menjalankan kegiatan perjudian dan penipuan secara dalam talian.

IPOH - Polis menumpaskan sindiket pusat panggilan penipuan dalam talian yang menyamar sebagai rakan dan memperdaya mangsa dari Jepun selepas menahan tujuh suspek dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Merdeka di sini Rabu lepas.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, serbuan kira-kira 3.30 petang itu dijalankan sepasukan polis daripada Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak bersama-sama Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, sebanyak enam lelaki warga Jepun dan seorang lelaki tempatan yang berumur dalam lingkungan 22 hingga 58 tahun ditahan dalam serbuan tersebut.

"Berdasarkan siasatan awal, pihak polis mempercayai sindiket ini menjalankan aktiviti pusat panggilan (Call Centre) bagi penipuan penyamaran identiti, iaitu menyamar sebagai rakan secara dalam talian. 

Iklan

"Sindiket ini telah mula beroperasi di premis terbabit sejak pertengahan Ogos tahun ini dan menyasarkan mangsa dari negara Jepun,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat. 

Mohd Alwi berkata, dalam operasi itu, polis turut merampas 16 telefon bimbit, sebuah komputer riba, sebuah router WiFi dan satu rangkai kunci rumah, dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM20,000.

Iklan

Beliau berkata, enam lelaki warga Jepun kini direman selama empat hari bermula dari 17 hingga 20 September, manakala lelaki tempatan itu direman selama sehari bermula Khamis. 

"PDRM Perak akan terus mengambil tindakan proaktif bagi membanteras aktiviti pusat panggilan yang menjalankan kegiatan perjudian dan penipuan secara dalam talian.

"Sehubungan itu, orang ramai, khususnya pemilik premis kediaman dinasihatkan supaya menyemak latar belakang penyewa secara terperinci bagi mengelakkan premis mereka dijadikan sarang atau pusat panggilan kegiatan menyalahi undang-undang,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat atau mencurigai ada premis di kawasan kejiranan yang dijadikan pusat panggilan supaya tampil menyalurkan maklumat di balai polis berhampiran bagi membantu membanteras jenayah terbabit. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 dan 120B Kanun Keseksaan bagi kesalahan menipu dan bersubahat melakukan jenayah. - Bernama