Tetak abang guna parang, juruelektrik mengaku tidak bersalah

Iklan
Tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap abang kandungnya.

GEORGE TOWN - Seorang juruelektrik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis atas pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap abang kandungnya.

Tertuduh, Chan Kin Yean, 62, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Tunku Intan Nadiah Tunku Mohammed Nazarin.

Iklan
Iklan

Ketika prosiding berlangsung, tertuduh yang masih bujang hanya menggelengkan kepala sebagai tanda tidak mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dikenakan.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Chan Kim Seong, 65, menggunakan sebilah parang sepanjang 48 sentimeter yang mana, jika digunakan sebagai senjata, berkemungkinan menyebabkan kecederaan.

Iklan

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah pondok kebun di Lot 71, Mukim 14, Jalan Paya Terubong di sini kira-kira jam 3.30 petang pada 21 Jun lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun yang sama.

Iklan

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut.

Bagaimanapun, oleh kerana pertuduhan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan, tempoh pemenjaraan boleh ditingkatkan sehingga dua kali ganda daripada hukuman maksimum yang diperuntukkan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Marissa Safina Saiful Adli manakala tertuduh diwakili Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Cheah Eng Soon.

Siti Marissa Safina memohon mahkamah menetapkan jaminan RM10,000 serta tarikh sebutan kes.

Beliau turut memohon satu syarat tambahan dikenakan iaitu tertuduh tidak mengganggu mangsa dan saksi sepanjang perbicaraan kes berlangsung.

Sementara itu, Eng Soon memaklumkan anak guamnya bekerja sebagai juruelektrik dan memohon jumlah jaminan yang minimum.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,500 dengan seorang penjamin serta mengarahkan supaya dia tidak mengganggu mangsa dan saksi sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 17 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan seorang lelaki warga emas parah selepas dipercayai ditetak sebanyak tiga kali oleh adik kandungnya dalam kejadian di sebuah rumah kebun buah-buahan di Paya Terubong, Air Itam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, mangsa dikatakan pergi ke kebun durian miliknya sebelum mendapati pelbagai barangan di rumah kebun berkenaan mengalami kerosakan.

Mangsa yang mengesyaki ia perbuatan adiknya kemudian menegur sebelum berlaku pertengkaran mulut antara mereka.

Semasa pertengkaran tersebut, suspek dipercayai mengambil sebilah parang lalu menetak mangsa sebanyak tiga kali sebelum melarikan diri dari lokasi kejadian.