Chegubard didakwa buat hantaran hasutan berkaitan Institusi Diraja

Iklan
Chegubard (depan, kiri) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban pada Khamis.

SEREMBAN - Aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas pertuduhan menerbitkan penerbitan menghasut yang berkaitan dengan Institusi Diraja Negeri Sembilan di akaun Facebook miliknya, bulan lalu.

Chegubard, 48, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim, Datin Surita Budin selepas pertuduhan dibacakan.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati menerbitkan penerbitan menghasut antaranya 'Berdasarkan undang-undang Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku Nadzaruddin Ibni Almarhun Tuanku Ja'afar sah merupakan Yang di-Pertuan Besar Ke-12.

Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir ialah kini bekas Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan' di aplikasi Facebook menerusi akaun Chegu Bard.

Iklan

Kesalahan itu dilakukan pada jam 8.30 malam di Jalan Besar Seri Menanti, Kuala Pilah pada 26 Mei lalu.

Berikutan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) akta yang sama.

Iklan

Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Chegubard (kiri) hadir ke Mahkamah Sesyen Seremban pada Khamis.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ahmad Sazali Omar menawarkan jaminan minimum RM10,000 atas alasan hantaran yang dibuat oleh tertuduh melibatkan isu sensitif berkaitan institusi diraja Negeri Sembilan.

Pihak pendakwaan juga memohon mahkamah supaya mengeluarkan perintah larangan 'gag order' terhadap Chegubard bagi melarangnya daripada terus membuat apa-apa komen atau hantaran berkaitan dengan isu yang sedang berlaku melibatkan Institusi Diraja Negeri Sembilan.

"Selain kes dipertuduhkan di mahkamah ini, terdapat beberapa komen atau hantaran dibuat (Chegubard) ada kaitan dengan perkara yang sama.

"Jadi, pihak pendakwaan berhujah agar mahkamah menggunakan budi bicara 'gag order' dikeluarkan sehingga kes selesai," katanya.

Peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakli tertuduh berpendapat wang jaminan sebanyak RM10,000 adalah jauh lebih tinggi berbanding denda maksimum hanya RM5,000 di bawah pertuduhan itu.

Beliau kemudiannya memohon jaminan RM2,500 selain menolak perintah 'gag order' dikenakan terhadap anak guamnya atas prinsip tidak menyekat kebebasan bersuara.

"Sekiranya mahkamah memberi perintah 'gag order' hari ini seolah-olah mengesahkan pertuduhan terhadap tertuduh (Chegu Bard) telah berjaya dibuktikan tanpa perbicaraan.

"Selain itu, terdapat tiga kes hasutan melibatkan anak guam saya iaitu dua kes di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan satu kes di Mahkamah Sesyen Johor telah ditolak perintah 'gag order'," katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan melapor diri di balai polis berdekatan sekali sebulan sehingga kes selesai.

Mahkamah turut menolak permohonan 'gag order', namun jika tertuduh didapati masih membuat hantaran sama sehingga boleh mencetuskan keadaan tidak harmoni, maka pihak pendakwaan boleh membuat permohonan bertulis.

Sebutan semula bagi serahan dokumen pada 3 Ogos depan.