CIANJUR – Seorang wanita berusia 46 tahun di Kabupaten Cianjur, Jawa Barat ditahan dan didakwa selepas dipercayai membiarkan anak kandungnya menjadi mangsa penderaan seksual yang dilakukan oleh suaminya sendiri.
Ketua Siasatan Jenayah Polis Cianjur, Fajri Amelia Putra berkata, suspek lelaki berusia 44 tahun itu didakwa melakukan penderaan seksual terhadap anak tirinya yang kini berusia 14 tahun berulang kali sejak Disember 2023 sehingga Mei 2026.
Menurut beliau, kes terbabit terbongkar selepas mangsa menceritakan kejadian yang dialaminya kepada seorang saudara sebelum laporan dibuat kepada pihak polis.
“Bapa tiri dan ibu kandung mangsa telah ditahan serta ditetapkan sebagai suspek,” katanya pada Isnin.
Hasil siasatan awal mendapati ibu kandung mangsa dipercayai mengetahui perbuatan suaminya namun gagal menghalangnya.
Polis mendakwa lelaki itu pernah mengugut untuk menceraikan isterinya dan menetapkan syarat tertentu agar perkahwinan mereka diteruskan.
Menurut Fajri, syarat tersebut didakwa melibatkan perlakuan seksual terhadap mangsa, yang dipercayai dipersetujui oleh ibu kandungnya sendiri.
Pihak polis kini masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti keseluruhan kronologi kejadian serta peranan setiap suspek dalam kes berkenaan.
Sementara itu, mangsa kini menerima bantuan fizikal dan psikologi bagi membantu proses pemulihan akibat trauma yang dialaminya.
Suspek lelaki didakwa mengikut undang-undang perlindungan kanak-kanak dan berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun jika sabit kesalahan.
Manakala ibu kandung mangsa didakwa mengikut peruntukan Kanun Keseksaan Indonesia yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sembilan tahun. - Agensi