Kecurian kabel: 256 individu ditahan, 357 barang kes dirampas di Kuala Lumpur

Iklan
Fadil Marsus

KUALA LUMPUR - Polis menahan seramai 256 individu serta merampas 357 barang kes bernilai RM629,000 dalam operasi membanteras jenayah kecurian kabel di sekitar ibu negara sejak Januari 2025 hingga Mei lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, tindakan penguatkuasaan secara berterusan itu menyaksikan seramai 171 individu ditahan sepanjang tahun 2025, manakala 85 lagi ditahan dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini.

Iklan
Iklan

"Pecahan tangkapan membabitkan 103 kes mencuri kabel telekomunikasi (telco), 28 kabel kereta api (rail) dan 40 lain-lain kecurian kabel, dengan 60 kes daripada 193 kertas siasatan berjaya dituduh di mahkamah pada tahun lalu.

"Bagi tempoh Januari hingga Mei 2026 pula, sebanyak 71 laporan kes kecurian kabel telah diterima oleh pihak polis dengan 85 tangkapan telah dibuat melibatkan curi kabel telco (50) tangkapan, curi kabel rail (17) tangkapan, lain-lain kecurian kabel (18) tangkapan dengan jumlah sebanyak 67 kertas siasatan telah dibuka dan 12 kes berjaya dituduh di mahkamah," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Iklan

Fadil berkata, implikasi jenayah itu bukan sahaja mendatangkan kerugian harta benda kepada pihak utiliti, malah memberi kesan domino yang buruk kepada kestabilan ekonomi dan operasi harian masyarakat.

"Kecurian kabel juga memberi kesan langsung terhadap kelancaran perkhidmatan iaitu membabitkan gangguan terhadap perkhidmatan komunikasi, operasi perniagaan serta penyampaian perkhidmatan kerajaan," katanya.

Iklan

Beliau berkata, tindakan memotong atau mencabut kabel secara haram turut merosakkan infrastruktur sedia ada serta meningkatkan risiko kemalangan berbahaya termasuk renjatan elektrik dan kebakaran bagi kes melibatkan kabel elektrik.

"Kes berkenaan disiasat di mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan. Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menyalurkannya terus kepada pihak polis melalui Hotline Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.