SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menafikan parti itu membantah penyertaan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dalam Perikatan Nasional (PN) seperti dilapor sebuah akhbar tempatan.
Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, sebaliknya bantahan dibuat hanya melibatkan kemasukan Parti Cinta Malaysia (PCM).
Iklan
Iklan
"Seperti yang dijelaskan oleh Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dalam kenyataan media beliau pada 23 Jun, bantahan terhadap PCM dibuat kerana kemasukannya berpotensi mencetuskan konflik dalaman dalam PN dan proses permohonannya didapati tidak teratur.
"Permohonan tersebut dibuat atas nama PCM, namun maklumat kepimpinan yang dikemukakan adalah atas nama Parti Wawasan Negara, sedangkan pertukaran nama parti serta perubahan kepimpinan tersebut masih belum diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS)," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada Isnin mengumumkan Pejuang dan PCM yang diambil alih Datuk Seri Hamzah Zainudin sebelum dinamakan semula sebagai Parti Wawasan Negara diterima untuk menjadi keanggotaan dalam gabungan itu.
Susulan itu, Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pada Selasa dilapor berkata, partinya membantah tindakan PN menerima PCM sebagai anggota baharu gabungan berkenaan.
Menurutnya, bantahan dibuat atas dasar PN sedang menghadapi masalah sesama parti komponen dan penerimaan terhadap parti baharu hanya akan menyulitkan masalah dalaman sedia ada.