'Mengapa AGC diam isu pembatalan lantikan Exco Negeri Sembilan?' - Fadhli Shaari

Iklan
Ahmad Fadhli Shaari

SHAH ALAM – Jabatan Peguam Negara (AGC) digesa menjelaskan status pembatalan pelantikan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan yang didakwa berlaku lebih awal berbanding isu proklamasi dan penggantungan pegawai kanan kerajaan negeri.

Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, AGC sebelum ini dilihat pantas mengeluarkan kenyataan berhubung kesahan proklamasi yang ditandatangani Menteri Besar Negeri Sembilan.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, tindakan sama turut diambil AGC dalam isu penggantungan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan Penasihat Undang-Undang Negeri.

“Dalam isu penggantungan SUK dan Penasihat Undang-Undang Negeri, AGC cepat mengeluarkan kenyataan.

Iklan

“Tetapi dalam isu pembatalan pelantikan Exco Negeri Sembilan yang berlaku lebih awal, mengapa AGC berdiam diri?

“Sah atau tidak, AGC perlu mengeluarkan penjelasan mengenai perkara itu juga,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.

Iklan

Sebelum ini, AGC memaklumkan Menteri Besar dan Exco Negeri Sembilan tidak mempunyai kuasa unilateral untuk menamatkan atau mengosongkan jawatan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Selain itu, AGC turut menjelaskan bahawa Exco tidak mempunyai kuasa dari sudut perundangan untuk menggantung tugas SUK dan Penasihat Undang-Undang Negeri kerana kedua-dua jawatan tersebut berada di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan.

Dalam pada itu, Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Machang berpandangan penjelasan AGC berhubung isu berkenaan penting kerana ia berpotensi menjadi rujukan dan panduan kepada kerajaan negeri lain.

“Perkara ini boleh menjadi panduan kepada negeri-negeri lain pada masa akan datang.

“Sebab itu penjelasan yang jelas dan menyeluruh amat diperlukan,” katanya.