Penggantungan PN: Bersatu Pahang dakwa tuduhan Pas, Wawasan cuba raih simpati

Iklan
Zakaria minta Pas dan Wawasan bersikap profesional dengan menjawab notis RoS dan mematuhi perintah penggantungan PN.

KUANTAN- Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pahang kesal dengan tuduhan Pas dan Parti Wawasan Negara (Wawasan) berhubung perintah penggantungan dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) terhadap Perikatan Nasional (PN).

Ketua Penerangannya, Zakaria Abdul Hamid berkata, tuduhan dan naratif sempit itu hanya bertujuan meraih simpati atau 'play victim' menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang.

Iklan
Iklan

Menurutnya, keputusan RoS dibuat secara adil selepas mendengar keterangan kedua belah pihak iaitu Bersatu dan Pas sebagai pentadbir PN.

"Selepas mendengar penjelasan dan meneliti bukti kedua belah pihak, RoS membuat keputusan untuk menggantung aktiviti PN sebelum tindakan seterusnya termasuk kemungkinan membatalkan pendaftaran PN.

Iklan

"Tindakan ini membuktikan aduan Bersatu mengenai perlanggaran Perlembagaan PN dan penafian hak Bersatu sebagai anggota parti mempunyai asas dan merit," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Sebelum ini, PN tidak menolak kemungkinan tindakan terhadap gabungan itu mempunyai kaitan dengan agenda berniat jahat (mala fide) dan tekanan politik daripada pihak dalam serta luar perikatan berkenaan.

Iklan

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, gabungan itu mengambil maklum keputusan RoS, namun tidak bersetuju dengan asas keputusan tersebut.

Malah, Wawasan turut mempersoalkan sama ada terdapat ‘tangan ghaib’ di sebalik tindakan menggantung PN yang berlaku serentak dengan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.

Sebelum ini, RoS menegaskan pendaftaran PN tidak dibatalkan, sebaliknya gabungan itu kini dikenakan perintah penggantungan semua kegiatan berkuat kuasa Rabu.

RoS dalam kenyataan pada Khamis memaklumkan pihaknya telah mengeluarkan notis di bawah Subseksyen 13(2) Akta Pertubuhan 1966 [Akta 832] bertarikh 22 September 2026 dan memberikan tempoh yang munasabah kepada PN untuk menjawab notis berkenaan.

Dalam pada itu, Zakaria berkata, Pas dan Wawasan disaran bermuhasabah serta bersikap profesional dengan menjawab notis RoS dan mematuhi perintah penggantungan PN.