Gagal patuhi had umur, penyedia media sosial boleh dikenakan penalti hingga RM10 juta - Fahmi

Iklan
Fahmi Fadzil. Foto fail Bernama

KUALA LUMPUR - Platform media sosial yang gagal mematuhi keperluan pengesahan umur pengguna di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866) boleh dikenakan penalti kewangan sehingga RM10 juta, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) boleh mengeluarkan notis ketidakpatuhan sekiranya mana-mana pemberi perkhidmatan aplikasi gagal memenuhi kewajipan di bawah Bahagian III Akta 866.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, pemberi perkhidmatan berlesen yang menerima notis itu dikehendaki membayar penalti kewangan yang ditetapkan atau mengemukakan representasi kepada MCMC bagi tujuan semakan semula.

Beliau menjawab soalan tambahan Syahredzan Johan (PH-Bangi) mengenai langkah memastikan pematuhan syarikat media sosial terhadap pengesahan had umur dan tindakan sekiranya mereka gagal mematuhi peraturan itu.

Iklan

Beliau menegaskan MCMC mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan terhadap pemberi perkhidmatan berlesen yang gagal mematuhi kewajipan ditetapkan itu di bawah akta berkenaan.

Beliau berkata, Seksyen 30 Akta 866 pula memberi kuasa kepada MCMC untuk mengeluarkan arahan secara bertulis kepada pemberi perkhidmatan berlesen berhubung pematuhan mana-mana peruntukan di bawah akta tersebut.

Iklan

"Kegagalan mematuhi arahan yang dikeluarkan merupakan satu kesalahan dan apabila disabitkan di mahkamah boleh didenda tidak melebihi RM1 juta serta denda tambahan tidak melebihi RM100,000 bagi setiap hari kesalahan itu berterusan selepas sabitan,” katanya.

Dalam pada itu, Fahmi berkata, kerajaan telah mengadakan siri libat urus dengan syarikat media sosial sejak Januari lepas menerusi pelaksanaan medan uji kaji kawal selia atau regulatory sandbox bagi membincangkan pelaksanaan mekanisme pengesahan umur.

Katanya, lebih 30 sesi libat urus telah diadakan sama ada secara bersama atau berasingan dengan platform media sosial yang terlibat.

"Setiap platform mempunyai cabarannya sendiri dan objektif perniagaan yang berbeza, namun kerajaan menetapkan keperluan pengesahan umur ini selaras dengan amalan yang turut dilaksanakan di lebih 25 negara di seluruh dunia," katanya. - Bernama