Tulisan tangan Zara Qairina pada peringkat remaja - Pakar

Iklan
Dr Linthini (gambar kiri) hadir ke mahkamah untuk memberi keterangan dalam inkues kematian Zara Qairina.

KOTA KINABALU - Pakar pemeriksa tulisan tangan dan dokumen, Dr Linthini Gannetion memberitahu Mahkamah Koroner di sini bahawa Allahyarham Zara Qairina Mahathir berada pada peringkat remaja iaitu peringkat kedua dalam perkembangan tulisan tangannya.

Dr Linthini, 34, yang merupakan saksi ke-74, memaklumkan perkara itu ketika menjawab soalan peguam, Mohd Luqman Syazwan Zabidi mengenai perkembangan tulisan tangan seseorang remaja dari semasa ke semasa.

Iklan
Iklan

Jelasnya, setiap individu melalui empat peringkat perkembangan tulisan tangan yang berubah mengikut usia.

"Peringkat pertama ialah peringkat pembentukan di mana pada peringkat ini, kita masih belajar menulis. Ketika itu, tahap kemahiran kita masih rendah kerana kita memberi perhatian secara sedar terhadap bagaimana bentuk huruf perlu ditulis.

Iklan

"Apabila memasuki peringkat remaja atau peringkat mudah dipengaruhi (impressionable stage), kita akan cuba membentuk cara penulisan dan gaya tulisan kita sendiri. Pada peringkat ini, tulisan tangan akan menjadi sangat tidak stabil kerana kita sentiasa bereksperimen dengan pelbagai jenis gaya tulisan.

"Kita juga mempunyai kecenderungan untuk meniru tulisan tangan rakan sebaya. Mungkin kita melihat tulisan seseorang dan berfikir. Oleh itu, terdapat ketidakstabilan dalam tulisan tangan remaja kerana mereka sentiasa mengubah gaya tulisan mereka," katanya semasa memberikan keterangannya di sini.

Iklan

Menurut beliau, keadaan ketidakstabilan dan variasi dalam gaya penulisan tersebut adalah selari dengan ciri perkembangan tulisan tangan remaja yang masih berada dalam fasa membentuk identiti tulisan sendiri.

Menurutnya, penghujung usia remaja sekitar 18 hingga 19 tahun pula merupakan tempoh tulisan tangan seseorang mula menjadi stabil dan mencapai tahap plateau, iaitu apabila gaya tulisan yang diamalkan tidak lagi berubah secara ketara.

"Mereka akan terus menggunakan tulisan yang telah dipraktikkan sebelum ini.

"Pada ketika itu, corak tulisan tangan tidak lagi mengalami perubahan yang ketara dan akan kekal konsisten," katanya.

Jelas beliau, disebabkan itu apabila pemeriksaan pada tulisan tangan melibatkan remaja, lebih baik dapatkan dokumen yang paling hampir dengan tempoh masa yang berkaitan.

"Adalah penting untuk terlebih dahulu mengkaji tulisan tangan individu tersebut dan menilai sejauh mana ketidakstabilannya sebelum kita boleh menentukan aspek keserentakan masa atau contemporaneity.

"Bagi penulis yang matang seperti kita, sampel tulisan yang dihasilkan dalam tempoh dua hingga tiga tahun masih mencukupi untuk tujuan perbandingan. Namun bagi remaja, tempoh beberapa bulan, malah beberapa minggu sekalipun, mungkin tidak memadai.

"Pada peringkat kemerosotan (degeneration stage), kita akan mula melihat perubahan tulisan tangan yang berkaitan dengan peningkatan usia.

"Sebagai contoh, apabila otot kita mula merosot atau mengalami degenerasi, tulisan tangan akan menjadi semakin tidak stabil dan bergegar. Itulah sebabnya aspek keserentakan masa (contemporaneity) memainkan peranan yang sangat penting dalam penilaian tulisan tangan," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, berdasarkan pemerhatiannya itu, tulisan Zara Qairina adalah di peringkat remaja.

"Berdasarkan pemerhatian saya, beliau berada dalam peringkat remaja, iaitu peringkat dua dalam perkembangan tulisan tangannya," jelasnya.

Sebelum itu, Mohd Luqman Syazwan bersama rakan sepasukannya, Shahlan Jufri, Datuk Rizwandean M Borhan, Mohd Syarulnizam bin Mohd Salleh, Farrah Nasser dan Elhanan James mewakili ibu Zara Qairina, Noraidah Lamat dalam inkues tersebut.

Inkues berlangsung pada hari ke-75 turut didengar oleh Koroner Amir Shah Amir Hassan.