KUALA LUMPUR – Seramai 13 lelaki termasuk dua remaja mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Selasa, atas satu pertuduhan merusuh dan memiliki kayu jenis rotan, dua minggu lalu.
Mereka ialah T Kavilan, 25, Wong Kui Yoong, 51, Leow Mun Yee, 33, Leong Chun Kit, 26, Yam Kit Lun, 21, Lim Zhen Huang, 31, Tan Kai Hao, 30, Teh Jin Huat, 40, Wong Kai Yan, 24, Lim Eng Hoon, 24, Kong Wai Lun, 22, dan dua remaja iaitu Tan Hwa Yuan, 19 serta seorang lagi tertuduh juvana berusia 17 tahun.
Semua tertuduh membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Illi Marisqa Khalizan.
Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama lima individu yang masih bebas, didakwa merusuh dan memiliki kayu jenis rotan yang boleh menyebabkan kecederaan, di hadapan sebuah kedai elektrik di Jalan Jinjang, Jinjang Utara jam 3.27 petang pada 11 Jun.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Iman Nurhidayah Ezani mencadangkan, semua tertuduh tidak diberi ikat jamin kerana kesalahan termasuk dalam kes yang tidak boleh diikat jamin.
Bagaimanapun, peguam, Nurul Ashiqeen Mohd Sultan dan Mona Leonard Lubon yang mewakili semua tertuduh, merayu supaya mahkamah memberikan ikat jamin pada kadar minimum.
Mereka berkata, anak guam memberi kerjasama dengan pihak polis dan tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri.
Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Illi Marisqa membenarkan Kit Lun, Hwa Yuan dan remaja bawah umur itu diikat jamin sebanyak RM4,500 dengan seorang penjamin.
“Baki tertuduh lain dikenakan ikat jamin sebanyak RM5,500 dengan seorang penjamin,” katanya sebelum menetapkan sebutan semula kes pada 13 Ogos.
Pada 14 April lalu, Sinar Harian melaporkan, 13 lelaki tempatan ditahan kerana disyaki terlibat dalam kejadian rusuhan di hadapan sebuah pusat hiburan.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Basri Sagoni berkata, siasatan awal mendapati, kejadian dipercayai berpunca tindakan seorang pelanggan mabuk di premis berkenaan sehingga mencetuskan kekecohan.