GEORGE TOWN - Pergaduhan yang berpunca daripada salah faham di sebuah kelab hiburan dipercayai menjadi punca insiden tetak yang mengakibatkan dua lelaki tempatan cedera parah di sebuah tokong di Jelutong, awal pagi Ahad.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim Kwang Keng berkata, siasatan mendapati kejadian itu bermula apabila berlaku sentuhan fizikal antara mangsa dan beberapa suspek di sebuah kelab hiburan sebelum perselisihan tersebut berlarutan di luar premis berkenaan.
Menurutnya, mangsa kemudiannya dituduh mencuri telefon bimbit milik salah seorang suspek sekali gus mencetuskan pergaduhan yang berakhir dengan serangan menggunakan parang.
“Polis percaya kejadian ini berpunca daripada perselisihan faham antara salah seorang mangsa dan suspek di lokasi berbeza sebelum kejadian berlaku.
"Suspek dan mangsa saling tidak mengenali antara satu sama lain.
“Siasatan lanjut mendapati berlaku sentuhan fizikal antara mereka di sebuah kelab hiburan sebelum mangsa dituduh mencuri telefon bimbit milik salah seorang suspek, yang kemudian membawa kepada pergaduhan di luar premis tersebut,” katanya ketika sidang media di Pusat Media Ibupejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini pada Selasa.
Mengulas lanjut, Dennis Lim berkata, dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu, selain mangsa yang putus jari telunjuk, seorang lelaki warga emas berusia 64 tahun yang merupakan penjaga tokong turut cedera.
"Mangsa kedua cuba untuk meleraikan pergaduhan tersebut namun dia turut diserang menyebabkan putus jari kelingking dan tetakan di beberapa bahagian badan.
"Susulan daripada kejadian itu, kita telah menahan enam lelaki tempatan berusia antara 26 hingga 38 tahun pada hari yang sama bagi membantu siasatan," ujarnya.
Dennis Lim menambah, polis turut merampas beberapa barang kes termasuk sebilah parang, tiga helai baju-T, enam telefon bimbit, dua batang anak kunci, satu alat kawalan jauh, dua buah motosikal, sebuah kereta serta topi keledar.
“Hasil semakan mendapati sebahagian daripada suspek mempunyai rekod kesalahan jenayah dan narkotik namun ujian saringan air kencing terhadap semua suspek didapati negatif dadah.
"Kesemua mereka direman tujuh hari bermula 22 hingga 28 Jun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan," katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau berkata, polis turut mengenal pasti dua lagi suspek yang masih bebas dan dipercayai terlibat dalam kejadian berkenaan.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Mohamad Azwan Mahmud Sabri di talian 010-7845429 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," katanya.