SHAH ALAM - Pemuda Pas Selangor mendesak kerajaan negeri mengambil tindakan lebih tegas termasuk mempertimbangkan larangan penjualan vape susulan pendedahan mengenai penyalahgunaan produk itu sebagai medium pengedaran dan penggunaan dadah sintetik dalam kalangan remaja serta belia.
Naib Ketua Pemuda Pas Selangor, Muhammad Faizzuddin Mohd Zai berkata, pihaknya menyokong penuh amaran yang dibangkitkan Timbalan Ketua Polis Negara, Ayob Khan Mydin Pitchay berhubung peningkatan penyalahgunaan vape yang dicampur bahan narkotik jenis New Psychoactive Substances (NPS).
Menurutnya, perkembangan itu membuktikan isu vape tidak lagi boleh dianggap sekadar masalah kesihatan awam atau tabiat merokok, sebaliknya sudah menjadi ancaman serius terhadap keselamatan dan kesejahteraan sosial masyarakat.
"Penggunaan vape bukan lagi isu gaya hidup atau pilihan individu semata-mata, tetapi telah berkembang menjadi ancaman besar kepada generasi muda dan keselamatan negara," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau turut melahirkan rasa kecewa berikutan kegagalan kerajaan Selangor mengambil langkah segera bagi mengawal atau menyekat penjualan vape walaupun pelbagai pihak telah lama menyuarakan kebimbangan mengenai perkara itu.
Menurutnya, beberapa negeri termasuk Kelantan, Terengganu, Perlis, Johor dan Pahang telah menunjukkan pendirian lebih proaktif dengan menyekat atau mengharamkan penjualan vape menerusi kuasa pelesenan pihak berkuasa tempatan.
Katanya, tindakan yang diambil negeri-negeri terbabit membuktikan langkah pentadbiran boleh dilaksanakan sekiranya wujud iltizam politik yang jelas untuk melindungi rakyat.
"Selangor yang sering dibanggakan sebagai negeri maju tidak sepatutnya terus melengah-lengahkan usaha mengharamkan penjualan vape.
"Ancaman terhadap keselamatan generasi muda dan kepentingan awam kini berada pada tahap yang sangat kritikal dan memerlukan tindakan segera," ujar beliau.
Sehubungan itu, tegas beliau, Menteri Besar Selangor serta Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar negeri mengambil pendirian lebih berani dalam menangani isu berkenaan.
"Usaha melindungi generasi muda daripada ancaman dadah sintetik perlu diberikan keutamaan dan tidak boleh dikompromi oleh sebarang pertimbangan lain yang berpotensi melambatkan tindakan sewajarnya," tambah beliau.