Rundingan baharu AS-Iran

Iklan
Rundingan semula berlangsung di Geneva.

GENEVA – Rundingan baharu melibatkan Amerika Syarikat (AS) dan Iran dilaporkan bermula pada Ahad di Switzerland, ketika ketegangan di Asia Barat kembali meningkat susulan pertempuran di Lubnan dan ancaman penutupan semula Selat Hormuz oleh Teheran.

Delegasi Iran dan Naib Presiden AS, JD Vance, tiba di Geneva bagi menghadiri perbincangan yang tertumpu kepada isu program nuklear Iran serta usaha mengekalkan gencatan senjata di Lubnan.

Iklan
Iklan

Sebelum berlepas ke Eropah, Vance berkata, beliau berharap rundingan itu dapat mencapai kemajuan dalam dua perkara utama iaitu isu nuklear Iran dan usaha meredakan konflik di Lubnan.

“Kami berharap dapat membuat kemajuan dalam isu nuklear dan juga gencatan senjata di Lubnan. Itu dua perkara utama yang menjadi fokus,” katanya kepada media.

Iklan

Rundingan berkenaan pada asalnya dijadualkan berlangsung pada Jumaat lalu, namun ditangguhkan pada saat akhir susulan serangan Israel di Lubnan.

Amerika Syarikat kemudian mengumumkan gencatan senjata baharu di Lubnan pada Jumaat sebagai sebahagian daripada perjanjian awal dengan Iran.

Iklan

Namun, pertempuran kembali tercetus pada Sabtu apabila tentera Israel dan kumpulan Hizbullah saling berbalas serangan, dengan kedua-dua pihak saling menuduh melanggar perjanjian tersebut.

JD Vance (tengah) bersama deligasi berlepas ke Switzerland pada Ahad. FOTO BBC.

Ketibaan deligasi

Di Geneva, delegasi Iran dilaporkan tiba lewat malam Sabtu dan disahkan oleh media rasmi serta Kementerian Luar Switzerland.

Delegasi itu termasuk Speaker Parlimen Iran, Mohammad Bagher Ghalibaf dan Menteri Luar, Abbas Araghchi.

Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baqaei berkata, delegasi berkenaan akan menuntut pelaksanaan penuh komitmen pihak lawan di bawah perjanjian sedia ada.

“Jika tidak, keseluruhan persefahaman ini akan terjejas,” katanya seperti dipetik agensi berita IRNA.

Sementara itu, JD Vance tiba di Pangkalan Udara Emmen, Switzerland pada pagi Ahad dan memaklumkan beliau hanya akan berada di negara itu selama satu atau dua hari.

Pegawai rundingan AS termasuk Jared Kushner dan Steve Witkoff dilaporkan telah berada lebih awal di Switzerland bagi mengendalikan aspek teknikal perbincangan, dengan laporan menyatakan perkembangan awal rundingan adalah positif.

Pakistan turut memainkan peranan sebagai pengantara apabila Perdana Menteri Shehbaz Sharif dan Ketua Tentera Asim Munir berlepas ke Switzerland bagi menyertai rundingan peringkat tinggi bersama wakil AS, Iran serta pengantara lain termasuk Qatar.

Bendera Switzerland, Amerika Syarikat, Qatar, Pakistan dan wilayah Nidwalden berkibar di kompleks hotel mewah Bürgenstock yang menghadap Tasik Lucerne, Switzerland, lokasi berlangsungnya persidangan. -AFP

Rundingan ini dijangka membuka tempoh perbincangan selama 60 hari bagi menyelesaikan isu-isu tertangguh daripada perjanjian awal, khususnya berkaitan program nuklear Iran.

Dalam perkembangan berkaitan, Iran dilaporkan menutup semula Selat Hormuz sebagai tindak balas terhadap dakwaan pelanggaran gencatan senjata oleh Israel di selatan Lubnan serta apa yang disifatkan sebagai pelanggaran komitmen pihak lawan.

Bagaimanapun, Komando Pusat AS menegaskan bahawa laluan perairan antarabangsa itu masih selamat dan terus dipantau rapi oleh pasukan tenteranya.

Dalam perkembangan berasingan di Lubnan, Israel dan Hizbullah terus berbalas tuduhan melanggar gencatan senjata, dengan pertempuran berterusan mengorbankan lebih 4,000 nyawa serta memaksa ribuan penduduk melarikan diri.

Ketegangan yang berlarutan itu terus mencetuskan kebimbangan masyarakat antarabangsa terhadap kemungkinan konflik yang lebih meluas di Asia Barat.-AFP