JOHOR BAHRU - UMNO Johor menggesa kerajaan segera meluluskan dan mempercepat pelaksanaan projek-projek pembangunan penting di negeri itu demi memastikan kebajikan serta kesejahteraan rakyat terus terpelihara.
Ketua Penerangan UMNO Johor, Md Israk Abdullah berkata, gesaan itu selaras titah dan pandangan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail berhubung keperluan mempercepatkan pembangunan, memperkukuh autonomi pelaksanaan serta mengurangkan kerenah birokrasi yang melambatkan projek rakyat.
"Sebagai negeri penyumbang utama kepada ekonomi negara, Johor berhak menerima perhatian dan sokongan yang setimpal bagi memastikan agenda pembangunan dapat dilaksanakan dengan lebih cekap dan berkesan.
"Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu mendengar suara dan keperluan Johor serta menyegerakan kelulusan serta pelaksanaan projek-projek penting yang memberi manfaat langsung kepada rakyat," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Sebelum ini Tunku Mahkota Ismail bertitah agar kerajaan Persekutuan mengembalikan sebahagian hasil dikutip daripada negeri itu secara lebih munasabah bagi membolehkan pembangunan dan kebajikan rakyatnya dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Baginda bertitah, Johor menyumbang lebih RM40 bilion setahun kepada kerajaan Persekutuan, namun hanya sekitar RM2 bilion hingga RM3 bilion dipulangkan semula kepada negeri itu bagi memenuhi keperluan hampir lima juta penduduk.
Dalam pada itu Md Israk menegaskan, titah berkenaan membuktikan Institusi Diraja Johor sentiasa mengikuti perkembangan pentadbiran negeri serta memahami cabaran yang dihadapi rakyat di peringkat akar umbi.
Malah beliau menjelaskan, isu melibatkan kemudahan kesihatan, pendidikan, infrastruktur, jaringan jalan raya serta pelbagai projek strategik tidak seharusnya terus berdepan kelewatan sehingga menjejaskan kesejahteraan rakyat.
"Hubungan erat antara Istana Johor, pentadbiran negeri dan rakyat merupakan kekuatan utama yang menjadi asas kestabilan serta kemajuan Johor sejak sekian lama
"Demi kepentingan Johor, hubungan ini sentiasa kukuh dan berpisah tiada," ujarnya.
Md Israk berkata, kepimpinan yang berkesan perlu berteraskan pelaksanaan dan penyelesaian, bukannya retorik semata-mata kerana rakyat menilai kejayaan sesebuah kerajaan melalui hasil yang dapat dirasai.
Justeru tegasnya, keutamaan perlu terus diberikan kepada penyelesaian masalah, pemantauan projek serta penyampaian perkhidmatan yang berkesan.
"Dalam berpolitik, Johor mempunyai acuan dan caranya yang tersendiri dengan sentiasa meletakkan kepentingan negeri, kestabilan, kemajuan dan kesejahteraan rakyat berbanding polemik yang tidak membawa manfaat.
"Semoga semangat yang dizahirkan melalui titah Pemangku Sultan Johor terus menjadi panduan kepada semua pihak dalam memacu Johor ke arah masa depan yang lebih maju dan sejahtera," katanya.