Tuntut pulangan hasil, Johor disaran guna saluran Perlembagaan

Iklan
Hassan

SHAH ALAM - Kerajaan negeri Johor yang bakal dibentuk selepas pilihan raya negeri (PRN) dicadangkan supaya membawa isu tuntutan agihan peruntukan kewangan daripada kerajaan Persekutuan ke platform Majlis Kewangan Negara.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, langkah berkenaan adalah saluran perundangan rasmi yang telah disediakan dan termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Iklan
Iklan

Beliau menjelaskan, Perkara 109 (1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kewajipan kerajaan Persekutuan menyalurkan pemberian ikut kepala kepada setiap negeri pada setiap tahun kewangan, berdasarkan peruntukan Bahagian I Jadual Kesepuluh.

"Manakala mengikut Perkara 110 (1) pula, setiap negeri berhak menerima semua hasil daripada cukai, fi serta sumber hasil lain seperti yang digariskan dalam Bahagian III Jadual Kesepuluh," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Iklan

Saranan itu dikemukakan susulan titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail yang mahu kerajaan Persekutuan mengembalikan sebahagian hasil cukai yang dikutip daripada negeri itu secara lebih munasabah bagi membiayai agenda pembangunan dan kebajikan rakyat tempatan.

Baginda mendedahkan, daripada keseluruhan hasil melebihi RM40 bilion setahun yang disumbangkan oleh Johor kepada Persekutuan, negeri berkenaan hanya menerima pulangan sekitar RM2 bilion hingga RM3 bilion bagi menampung keperluan hampir lima juta penduduknya.

Iklan

Titah baginda itu dibuat semasa sesi bersama rakyat sebagai maklum balas terhadap kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini yang menyifatkan Johor sebagai sebuah negeri kaya namun berdepan masalah 'kebocoran'.

Mengulas lanjut, Hassan menegaskan, sebarang pertikaian atau ketidakpuasan hati membabitkan kerajaan negeri boleh diselesaikan melalui rundingan di peringkat Majlis Kewangan Negara mengikut Perkara 108(4) Perlembagaan Persekutuan.

"Berdasarkan peruntukan undang-undang bertulis sedia ada ini, mana-mana pentadbiran kerajaan negeri Johor yang dibentuk selepas PRN Johor boleh mengemukakan isu pertikaian pemberian peruntukan tersebut kepada Majlis Kewangan Negara," katanya.