'Malaysia semakin diiktiraf kuasa tengah yang dihormati dunia' - PM

Iklan
Anwar ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Pembukaan MKS Instruments Malaysia Sdn Bhd Pulau Pinang pada Sabtu.

BATU KAWAN - Kedudukan Malaysia yang berjaya mengekalkan hubungan baik dengan kuasa-kuasa besar dunia membuktikan negara kini semakin diiktiraf sebagai pemain penting dalam landskap geopolitik dan ekonomi antarabangsa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia terus mengukuhkan hubungan dengan pelbagai negara termasuk Amerika Syarikat (AS), China, India, Rusia dan negara-negara Eropah tanpa mengorbankan prinsip berkecuali yang diamalkan sejak sekian lama.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pendekatan tersebut membolehkan negara menarik pelaburan berkualiti tinggi selain membuka peluang kerjasama strategik dalam pelbagai sektor.

“Malaysia berada di tengah-tengah perkembangan dunia hari ini dan tahap keyakinan pelabur antarabangsa terhadap negara amat penting untuk kelangsungan ekonomi serta kemajuan masa depan kita.

Iklan

Anwar berkata, AS kekal sebagai antara rakan dagang dan pelabur utama Malaysia manakala pelaburan dari China, India serta negara-negara Eropah terus menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan.

Menurutnya, peningkatan pelaburan daripada negara-negara tersebut membuktikan keyakinan komuniti antarabangsa terhadap kestabilan ekonomi dan dasar pembangunan Malaysia.

Iklan

Beliau berkata, syarikat-syarikat global seperti Nvidia, Infineon dan MKS Instruments terus mengembangkan operasi mereka di negara ini kerana melihat potensi besar yang ditawarkan Malaysia dari segi kemudahan, insentif dan prospek pertumbuhan ekonomi.

“Pelabur bukan sahaja melihat kemudahan, insentif dan potensi yang ada, tetapi turut menilai kelebihan ekonomi yang mampu diwujudkan melalui kerjasama jangka panjang dengan Malaysia.

“Sebab itu saya amat teruja dengan kehadiran MKS Instruments yang memperluaskan aktivitinya di negara ini kerana terdapat banyak bidang yang boleh memberi manfaat bersama,” katanya.

Anwar turut menegaskan bahawa Pulau Pinang telah membuktikan kecekapan pentadbiran, kejelasan dasar serta pengurangan kerenah birokrasi mampu mempercepatkan kemasukan pelaburan berkualiti tinggi.

Menurutnya, kerajaan sentiasa mendapatkan pandangan pemain industri bagi mengenal pasti penambahbaikan yang perlu dilakukan untuk memastikan Malaysia kekal kompetitif dalam sektor berteknologi tinggi.

“Yang penting ialah kita terus melakukan penambahbaikan kerana dalam dunia teknologi baharu seperti kecerdasan buatan dan semikonduktor, kita tidak boleh bergerak dengan cara lama dan proses yang perlahan,” katanya.