PERSEKUTUAN Bolasepak Algeria (FAF) mengemukakan rayuan rasmi kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berhubung insiden melibatkan kapten Argentina, Lionel Messi dalam aksi pembukaan Kumpulan J Piala Dunia 2026 yang menyaksikan Argentina menewaskan Algeria 3-0 di Stadium Arrowhead, Rabu lalu.
Aduan itu difailkan kepada Suruhanjaya Pengadilan FIFA susulan insiden pada babak pertama perlawanan yang melibatkan Messi dan kapten Algeria, Aissa Mandi.
FAF mendakwa Messi melakukan terjahan yang mengenai bahagian betis dan buku lali pemain pertahanan itu, namun pengadil hanya meniup wisel tanpa melayangkan sebarang kad.
Menurut kenyataan pihak Algeria, keputusan tersebut dianggap sebagai layanan berbeza dan mereka menuntut penilaian semula daripada badan pengadil FIFA.
Bekas pemain dan penganalisis ESPN, Ale Moreno turut berpandangan insiden itu wajar dikenakan kad merah dan menyifatkan ia menguatkan persepsi bahawa pemain bintang sering menerima layanan istimewa di padang.
Dalam perlawanan itu, Messi meledak hatrik untuk membantu Argentina mengesahkan kemenangan 3-0.
Tiga jaringan tersebut menyaksikan bintang berusia 38 tahun itu menyamai rekod penjaring terbanyak sepanjang zaman Piala Dunia milik legenda Jerman, Miroslav Klose dengan 16 gol.
Argentina akan meneruskan kempen Kumpulan J menentang Austria pada Selasa, manakala Algeria berdepan aksi wajib menang menentang Jordan bagi menghidupkan peluang ke pusingan kalah mati.