Berang dilarang keluar rumah, cucu pukul kepala nenek guna tukul besi

Iklan
Polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 6.55 petang. Gambar hiasan

DUNGUN -  Seorang nenek berusia 79 tahun cedera parah, dipercayai dipukul cucunya menggunakan tukul besi dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Kuala Abang di sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Nik Ab Halim Nik Mat berkata, polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 6.55 petang.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, siasatan awal mendapati, kejadian berlaku apabila wanita warga emas itu menghalang cucu lelakinya berusia 25 tahun yang tinggal bersamanya untuk keluar rumah, sebelum berlakunya pertengkaran antara mereka.

"Suspek dipercayai telah menolak mangsa, sebelum bertindak memukul wanita berkenaan menggunakan tukul besi sehingga menyebabkan kecederaan parah di bahagian kepala,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Iklan

Nik Ab Halim berkata, mangsa telah dikejarkan ke Hospital Dungun untuk mendapatkan rawatan lanjut dan keadaan mangsa dilaporkan stabil.

Beliau berkata, polis telah menahan suspek yang memiliki kad pesakit mental bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan, manakala tukul besi yang digunakan dalam kejadian itu turut dirampas.- Bernama 

Iklan