'Saja duduk atas bumbung ambil angin, bukan mahu lari'

Iklan
Lelaki terbabit mendakwa dia hanya berehat dan mengambil angin malam di atas bumbung.

KUALA LUMPUR -"Saya rehat saja ambil angin malam, bukan mahu lari."

Itu alasan diberikan seorang lelaki warga asing selepas ditemui bersembunyi di atas bumbung bangunan rumah kedai tiga tingkat dalam Ops Kutip yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur di Pasar Pudu di sini pada Sabtu.

Iklan
Iklan

Lelaki berusia lingkungan 30-an itu dipercayai cuba meloloskan diri ketika operasi dijalankan sebelum dikesan bersembunyi di kawasan bumbung premis berkenaan.

Pegawai JIM yang menjalankan pemeriksaan di tingkat tiga premis terbabit kemudiannya memanjat struktur bumbung sebelum menemui lelaki itu dalam keadaan baring.

Iklan

Ketika disoal, lelaki terbabit mendakwa dia hanya berehat dan mengambil angin malam di kawasan berkenaan.

Dalam operasi sama, seorang wanita warga asing turut dikesan bersembunyi di bawah tilam di sebuah bilik sewa bagi mengelakkan ditahan pihak berkuasa.

Iklan

Pasukan operasi terpaksa memecahkan pintu bilik berkenaan selepas beberapa kali diketuk namun tidak dibuka kerana dipercayai dikunci dari bahagian dalam.

Wanita terbabit kemudian ditemui bersembunyi di bawah katil sebelum memberi alasan dia kesejukan dan tidak mendengar bunyi ketukan pintu.

Seorang wanita wargaasing dikesan bersembunyi bawah tilam ini.

Sementara itu, JIM Kuala Lumpur memaklumkan seramai 320 individu warga asing telah diperiksa dalam operasi bersepadu yang dijalankan bermula jam 12.05 tengah malam.

Menurut kenyataan dikeluarkan, operasi berkenaan membabitkan penyertaan 137 pegawai daripada JIM Kuala Lumpur, JIM Putrajaya, JIM Selangor, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

"Hasil pemeriksaan mendapati seramai 186 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

"Mereka terdiri daripada 149 lelaki dan 37 wanita warga asing membabitkan warganegara Bangladesh, Indonesia, Myanmar, Vietnam, Nepal, India, Pakistan dan China," katanya pada Sabtu.

Antara individu warga asing yang ditahan dalam operasi dijalankan.

JIM berkata, antara kesalahan dikesan ialah tinggal lebih masa di negara ini di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah mengikut Seksyen 6(1)(c) akta sama.

Kesemua warga asing yang ditahan dibawa ke Pejabat JIM Kuala Lumpur untuk siasatan dan tindakan lanjut.