PUTRAJAYA - Jumlah pendaratan belangkas di negara ini merekodkan peningkatan sebanyak 14.44 peratus dalam tempoh tiga tahun, sekali gus menunjukkan perkembangan positif terhadap kelangsungan spesies marin berkenaan.
Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia, Datuk Adnan Hussain berkata, pendaratan belangkas meningkat daripada 232.80 tan metrik pada 2023 kepada 237.65 tan metrik pada 2024 sebelum mencecah 266.42 tan metrik pada tahun lalu.
Adnan berkata, walaupun sumbangan belangkas kepada keseluruhan sektor perikanan tangkapan negara hanya sekitar 0.019 peratus, komoditi berkenaan mempunyai nilai premium yang signifikan serta berpotensi menjana pendapatan tambahan kepada komuniti nelayan pesisir.
"Belangkas merupakan khazanah biodiversiti marin negara yang mempunyai nilai strategik tinggi, bukan sahaja kepada keseimbangan ekosistem pesisir, malah dalam bidang biosains dan bioperubatan.
“Peningkatan pendaratan belangkas yang direkodkan menunjukkan ekosistem pesisir negara masih berupaya menyokong kelangsungan spesies itu," katanya.
Menurutnya, belangkas yang sering digelar sebagai ‘fosil hidup’ merupakan spesies purba yang telah mendiami bumi sejak lebih 400 juta tahun lalu.
"Keunikan spesies itu terletak pada darahnya yang berwarna biru dan mengandungi komponen Amebocyte Lysate yang digunakan dalam ujian keselamatan vaksin serta ubat-ubatan bagi mengesan pencemaran bakteria.
"Malaysia merupakan habitat kepada tiga daripada empat spesies belangkas dunia, iaitu Carcinoscorpius rotundicauda, Tachypleus gigas dan Tachypleus tridentatus," katanya.
Dalam pada itu, Adnan memaklumkan populasi belangkas masih berdepan pelbagai ancaman termasuk kemusnahan habitat akibat pembangunan pesisir, pencemaran sisa plastik serta aktiviti pengambilan telur secara tidak terkawal.
"Sehubungan itu, kita akan terus memperkukuh usaha pemuliharaan melalui penguatkuasaan, penyelidikan saintifik, program pelepasan juvenil dan pewartaan kawasan pembiakan sebagai zon perlindungan bagi memastikan kelestarian spesies itu terus terpelihara untuk generasi akan datang," ujarnya.