GOPENG – [DIKEMAS KINI] Seorang ibu mengandung bersama dua bayi antara mangsa yang terperangkap dalam kejadian kepala air dan jambatan runtuh di kawasan Sungai Ulu Geruntum di sini pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Mohamad Nazri Daud berkata, kejadian sekitar jam 6.30 petang itu berpunca daripada hujan lebat berterusan sehingga menyebabkan arus deras serta fenomena kepala air dari Sungai Ulu Kampar ke Sungai Ulu Kepayang.
Menurutnya, insiden tersebut mengakibatkan tiga jambatan runtuh, iaitu satu di Ulu Kepayang dan dua lagi di Kampung Ulu Geruntum, sekali gus memutuskan hubungan jalan utama ke beberapa penempatan Orang Asli di kawasan berkenaan.
“Berdasarkan maklumat awal, seramai 23 mangsa terdiri daripada 14 orang dewasa, empat kanak-kanak, dua warga emas, seorang ibu mengandung dan dua bayi dilaporkan terperangkap.
“Kesemua mereka terputus hubungan selepas jambatan di Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Geruntum runtuh,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Jumaat.
Beliau berkata, satu perbincangan lanjut melibatkan agensi berkaitan akan diadakan pada Sabtu bagi menyelaras tindakan susulan.
Katanya, setakat ini, laluan utama ke Kampung Ulu Kepayang dan Kampung Ulu Geruntum tidak dapat dilalui.
“Kita dimaklumkan masih terdapat penduduk di dua kampung berkenaan yang tidak dapat keluar dari lokasi, namun jumlah sebenar mangsa yang terperangkap masih belum dapat dipastikan.
“Dalam kejadian ini, sebuah kenderaan jenis Perodua Bezza milik penduduk turut dihanyutkan arus deras,” katanya.
Sementara itu, Mohamad Nazri memaklumkan kira-kira 30 penduduk kampung yang terjejas akibat kejadian itu telah dipindahkan ke beberapa lokasi selamat, antaranya Chalet Kampung Ulu Geruntum dan Gopeng Highland Resort.
Beliau berkata, kebajikan terutama penyediaan makanan dan minuman kepada semua mangsa terbabit telah diuruskan oleh pihak pengurusan resort.
“Setakat ini tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan. Walaupun paras air semakin menurun, keadaan arus masih deras,” katanya.
Beliau memaklumkan pemantauan di lokasi kejadian akan diteruskan oleh anggota polis bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).