Kes pecah amanah RM10.55 juta: Dokumen kes diserah kepada pembelaan Daud Bakar, Norliza

Iklan
Mohd Daud hadir ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat. Foto Sinar Harian, Rosli Talib.

KUALA LUMPUR – Pihak pendakwaan kes pecah amanah wang berjumlah RM10.55 juta membabitkan tokoh kewangan Islam dan rakan kongsinya, memberitahu Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat bahawa sebahagian dokumen telah diserahkan kepada pihak pembelaan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Noor Syazwani Mohamad Sobry berkata, beberapa dokumen tersebut telah diberi kepada peguam yang mewakili Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar, 62, dan Datuk Norliza Tajuddin, 54,

Iklan
Iklan

“Baki beberapa dokumen akan disampaikan dalam prosiding akan datang, jadi saya mohon mahkamah menetapkan tarikh lain untuk sebutan kes,” katanya yang hadir bersama Pegawai Pendakwa, Fatin Farhana Ismail.

Dalam prosiding di hadapan Hakim, Suzana Hussin, tertuduh pertama iaitu Norliza diwakili peguam, Datuk Jaya Prem dan Gupinder Singh Mohana sementara peguam, Datuk Ahmad Zaidi Zainal hadir bagi pihak Mohd Daud yang juga bekas Pengerusi Majlis Penasihat Shariah (SAC) Bank Negara Malaysia (BNM) selaku tertuduh kedua.

Iklan

Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula kes pada 19 Ogos depan.

Dalam pada itu, ketika di luar mahkamah pendakwaan memberitahu dokumen yang diserahkan kepada pihak tertuduh, membabitkan laporan setiausaha syarikat dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Iklan

Pada 11 Mei lalu, Mohd Daud dan Norliza didakwa sebagai ejen, iaitu pengarah dan pemegang saham syarikat Energy Eco Sdn Bhd telah diamanahkan dengan harta, dengan niat bersama melakukan pecah amanah jenayah ke atas wang milik empat pelabur.

Norliza (kanan) hadir ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat.Foto Sinar Harian

Ia membabitkan nilai RM400,000 dan RM200,000 milik Moideen Kunjayu; RM500,000, RM900,000 dan RM550,000 (Koperasi Perumahan Sentul Pasar Kuala Lumpur Berhad); RM2 juta (Datuk Dr Mashitah Ibrahim) serta RM6 juta (Myad Kapital Sdn Bhd).

Dua tertuduh secara tidak jujur telah menggunakan harta tersebut dengan melanggar kontrak nyata yang telah dibuat mengenai penyempurnaan amanah, iaitu 'Shareholder’s Advance Agreement' bertarikh 22 Jun 2021, 19 Januari, 1 April, 27 April dan 6 Disember 2022 serta 5 April 2023 dan 12 Mei 2024.

Perjanjian melibatkan Energy Eco dengan empat pelabur terbabit berhubung perniagaan pembuatan sarung tangan patuh syariah.

Kesalahan didakwa dilakukan di dua bank di Taman Setiawangsa dan Bangsar, di sini antara 22 Jun 2021 dan 15 Mei 2024.

Setiap pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman penjara antara dua hingga 20 tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.