KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang memperincikan mekanisme pelaksanaan penglibatan anggotanya dalam Pasukan Keselamatan Penerbangan (AVSEC), termasuk skop penugasan, lokasi penempatan, keperluan sumber manusia, bidang tanggungjawab serta penyelarasan operasi.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, proses itu sedang dilaksanakan bersama Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pengangkutan dan agensi berkaitan susulan keputusan Jemaah Menteri yang bersetuju melaksanakan penambahbaikan segera terhadap kawalan keselamatan penerbangan negara.
Iklan
Iklan
"PDRM menyambut baik keputusan kerajaan itu dan bersedia memberikan komitmen serta kerjasama sepenuhnya bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Mohd Khalid berkata, penglibatan pasukan polis dalam ekosistem keselamatan penerbangan dijangka memperkukuh keupayaan perkongsian risikan, pengesanan awal, penyelarasan penguatkuasaan serta tindakan segera terhadap sebarang ancaman atau kegiatan jenayah yang cuba mengeksploitasi kemudahan dan prosedur penerbangan.
"Langkah ini akan menjadi sebahagian daripada sistem keselamatan yang lebih menyeluruh dan berlapis, merangkumi pengukuhan kawalan akses, prosedur saringan, pemeriksaan keselamatan, penilaian risiko serta kerjasama strategik antara semua agensi dan pihak berkepentingan," katanya.
Beliau berkata, pelaksanaan kawalan keselamatan yang lebih ketat, bersepadu dan berasaskan risikan diyakini mampu meningkatkan keupayaan pencegahan, mengurangkan risiko serta menutup ruang yang berpotensi dieksploitasi pihak tidak bertanggungjawab.
"PDRM memberi jaminan bahawa keselamatan penerbangan dan keselamatan pintu keluar, masuk negara akan terus diberikan keutamaan. Sebarang cubaan menggunakan industri penerbangan sebagai saluran kegiatan jenayah tidak akan dikompromi," katanya.