Perbicaraan kes Azlan Man selesai selepas 21 saksi beri keterangan

Iklan
Azlan hadir ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat. Foto Sinar Harian - ROSLI TALIB

KUALA LUMPUR – Perbicaraan kes membabitkan bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man yang berdepan lima pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu dan lima pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM1.06 juta, selesai selepas 21 saksi memberi keterangan di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat.

Semasa prosiding di hadapan Hakim Azura Alwi, Timbalan Pendakwa Raya, Noralis Mat berkata, saksi pembelaan ke-21, Ketua Penolong Setiausaha Kanan Belanjawan Kementerian Pengajian Tinggi, Mawar Awang merupakan saksi terakhir dalam kes berkenaan.

Iklan
Iklan

"Pihak pendakwaan tidak berhasrat menawarkan saksi lain kepada pihak pembelaan (sekiranya Azlan, 67, dipanggil membela diri)," katanya.

Susulan itu, Azura menetapkan 30 Julai depan untuk kedua-dua pihak memfailkan hujahan bertulis, manakala 7 September ditetapkan bagi hujahan balas.

Iklan

Mahkamah turut menetapkan 1 Oktober ini untuk sesi klarifikasi dalam prosiding di peringkat pendakwaan tersebut.

Antara saksi yang telah memberi keterangan dalam perbicaraan yang bermula pada 18 Julai 2024 ialah saksi pendakwaan (SP) ke-10, bekas Pengarah Urusan Sri Kedawang Travel & Tour (W) Sdn Bhd, Shafiei Ismail dan SP15, bekas Setiausaha Dewan Undangan Negeri dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis, Norazlan Yahya.

Iklan

Sementara itu, SP20, bekas Setiausaha Sulit Kanan kepada Azlan, Herwardy Hashim serta SP19, Penolong Pegawai Siasatan Cawangan AMLA, Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Safwan Arbangi turut memberi keterangan.

Azlan, 67, didakwa atas lima pertuduhan berkaitan tuntutan palsu bagi kemudahan cuti ke luar negara berjumlah lebih RM1.18 juta di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis antara Disember 2013 hingga Disember 2017.

Tuntutan itu melibatkan sebut harga tiket penerbangan ke London serta invois daripada syarikat pelancongan Sri Kedawang Travel & Tour (W) Sdn Bhd dan Aidil Travel & Tours Sdn Bhd.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta yang sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau nilai butir matan palsu atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Dia juga berdepan lima pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM1.06 juta antara 19 Februari 2014 hingga Disember 2017 di beberapa lokasi termasuk cawangan Maybank Jalan Tuanku Abdul Rahman, CIMB Bank cawangan Putrajaya serta sebuah hotel di sini.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Selain itu, tertuduh juga didakwa atas lima pertuduhan pilihan kerana menyalahgunakan wang RM1.06 juta milik Kerajaan Negeri Perlis yang dibayar kepada Sri Kedawang Travel & Tour (W) Sdn Bhd dan Aidil Travel & Tours Sdn Bhd.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Maybank Cawangan Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini, CIMB Bank Cawangan Putrajaya dan hotel yang sama di sini antara 19 Februari 2014 hingga Disember 2017 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan.

Hukuman bagi seksyen itu membawa hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun, serta sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.