SHAH ALAM – Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) akan menganjurkan MATTA Muslim Friendly Travel Fair (MFTF) 2026 yang berlangsung pada 4 dan 5 Julai ini di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL).
Penganjuran edisi kedua MFTF itu bertujuan menyediakan platform kepada ahlinya untuk mempromosikan produk dan tawaran yang memfokuskan destinasi berlandaskan prinsip Islam, termasuk akses mudah kepada makanan halal serta kemudahan solat.
MATTA memaklumkan pesta pelancongan berkenaan akan menampilkan 123 pempamer daripada 57 organisasi yang mengambil bahagian, meliputi kawasan pameran seluas 2,700 meter persegi.
Timbalan Pengerusi Penganjur MFTF 2026, Dr Fazil Khan berkata, walaupun permintaan terhadap produk pelancongan mesra Muslim terus meningkat bagi pasaran pelancongan masuk dan keluar negara, ketidakselarasan dalam proses pengesahan serta piawaian operasi masih menjadi kebimbangan utama industri.
Menurut beliau, tanpa penanda aras yang konsisten, pengguna terpaksa menilai pelbagai tawaran dan sebahagiannya mungkin tidak memenuhi standard diharapkan.
“Keadaan ini mewujudkan ketidakpastian kepada pelanggan setia, selain persaingan tidak seimbang kepada pengusaha sah yang mematuhi peraturan serta melabur dalam penyampaian perkhidmatan berkualiti.
“Membina kepercayaan dalam segmen mesra Muslim atau dalam industri pelancongan secara amnya, bergantung kepada peraturan, pendidikan dan tanggungjawab industri.
“Kami telah membangunkan platform yang kukuh bagi membantu pengguna memahami nilai memilih pengusaha berlesen dan disahkan, di samping meningkatkan standard industri secara bersama,” katanya.
Tambah Fazil, MFTF turut melengkapkan usaha tersebut dengan menggalakkan penyelarasan yang lebih baik dalam industri secara keseluruhan.
Jelasnya, pada masa sama, ia mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju diiktiraf dalam pembangunan pelancongan mesra Muslim, di samping menekankan keperluan penambahbaikan berterusan bagi memenuhi jangkaan global yang sentiasa berkembang.
“Konsep mesra Muslim bukan sekadar perjalanan berasaskan halal, malah merupakan satu gaya hidup sederhana yang boleh dinikmati oleh semua golongan tanpa mengira umur, bangsa dan agama.
“MATTA merakamkan penghargaan atas sokongan berharga daripada para penaja dan rakan strategik iaitu Pusat Pelancongan Islam (Islamic Tourism Centre) sebagai Rakan Strategik, Pejabat Pelancongan Kerajaan Macau (MGTO) sebagai penaja dan RHB Bank Berhad sebagai Penaja Platinum Eksklusif,” ujarnya.
MFTF dibuka kepada orang ramai dari jam 10 pagi hingga 9 malam pada Sabtu dan Ahad, 4 hingga 5 Julai 2026.
Pengunjung digalakkan menggunakan pengangkutan awam bagi mengurangkan pelepasan karbon dan menyokong amalan pelancongan mampan. Kemudahan parkir turut disediakan di lokasi penganjuran.
Untuk mendapatkan maklumat terkini, orang ramai boleh mengikuti akaun Instagram, X dan TikTok @matta_mftf serta laman Facebook rasmi MATTA Muslim Friendly Travel Fair.