Tekanan kos sara hidup: Selangor tawar moratorium tiga bulan

Iklan
Amirudin semasa sidang DUN Selangor pada Jumaat.

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor menawarkan moratorium selama tiga bulan kepada lebih 3,300 penyewa dan peminjam rumah di bawah skim kerajaan negeri sebagai langkah membantu rakyat menghadapi tekanan kos sara hidup susulan krisis bekalan global.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, bantuan itu melibatkan penyewa Program Smart Sewa Selangor serta penjawat awam negeri yang sedang membayar pinjaman perumahan kerajaan negeri.

Iklan
Iklan

Menurutnya, seramai 1,012 penyewa Smart Sewa akan ditawarkan moratorium pembayaran sewa rumah bermula Oktober hingga Disember 2026.

"Kerajaan negeri memahami keadaan yang mungkin dihadapi oleh para penyewa sekiranya kos sara hidup meningkat dalam tempoh beberapa bulan akan datang," katanya ketika membentangkan Fasa 2 Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor pada Sidang Khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini pada Jumaat.

Iklan

Amirudin berkata, moratorium itu akan diselaraskan oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) berdasarkan permohonan yang dikemukakan penyewa, dengan peruntukan sebanyak RM2.22 juta disediakan bagi tujuan berkenaan.

Menurut beliau, kadar sewa bulanan di bawah program Smart Sewa ketika ini antara RM450 hingga RM1,300 sebulan dan kerajaan negeri akan memastikan kadar itu kekal tanpa sebarang kenaikan.

Iklan

Selain penyewa Smart Sewa, katanya, kerajaan negeri turut menawarkan moratorium pembayaran balik pinjaman perumahan kepada 2,333 penjawat awam negeri yang menerima pembiayaan menerusi Skim Pinjaman Perumahan Kerajaan Negeri.

"Bagi membantu penjawat awam yang sedang menjelaskan bayaran hutang pinjaman rumah, pentadbiran ini akan menawarkan peluang moratorium bayaran semula pinjaman rumah untuk tempoh tiga bulan bermula Oktober sehingga Disember 2026.

"Kerajaan negeri memperuntukkan RM2.54 juta bagi melaksanakan inisiatif ini," katanya.

Katanya, kedua-dua langkah itu merupakan sebahagian daripada Fasa 2 Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor yang diumumkan bagi membantu rakyat dan ekonomi negeri mendepani ketidaktentuan ekonomi susulan gangguan rantaian bekalan global.

Secara keseluruhan, kerajaan negeri memperuntukkan RM209.26 juta bagi pelaksanaan Fasa 2 menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan bagi Fasa 1 dan Fasa 2 sebanyak RM355.06 juta.