JOHOR BAHRU – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenal pasti 39 kawasan panas daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Johor yang akan diberikan tumpuan khas sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, pemantauan dan kawalan keselamatan akan dipertingkatkan di kawasan berkenaan, termasuk penambahan kekuatan anggota sekiranya diperlukan.
"Sekiranya perlu bantuan sumber manusia akan ditambah melibatkan kontinjen dari luar. Bantuan ini akan diselaraskan Jabatan Pengurusan Bukit Aman melibatkan 5,763 pegawai dari luar yang akan membantu kontinjen Johor.
"Selain itu bagi memastikan PRN ini berjalan lancar, kontinjen Johor merangka penugasan operasi yang dibahagikan kepada lima fasa utama," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini pada Khamis.
Beliau berkata, fasa pertama adalah melibatkan pra PRN iaitu PDRM Johor memberi tumpuan terhadap pengumpulan risikan, penilaian ancaman keselamatan, pemantauan perkembangan politik semasa, pengenalpastian kawasan berisiko, pemeriksaan pusat penamaan calon dan pusat mengundi.
Jelasnya, ini termasuk penyelarasan bersama-sama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan agensi-agensi berkaitan.
Katanya, fasa kedua adalah hari penamaan calon yang ditetapkan pada 27 Jun ini dengan tumpuan akan diberikan terhadap kawalan keselamatan di pusat penamaan calon, pengurusan pergerakan penyokong, serta kawalan trafik bagi memastikan perjalanan proses penamaan calon berlangsung dengan lancar.
Beliau memberitahu, seramai 4,832 pegawai, anggota serta pegawai awam PDRM akan digerakkan untuk memastikan proses penamaan calon berjalan lancar.
"Fasa ketiga pula melibatkan tempoh berkempen bermula pada 27 Jun hingga 10 Julai ini. Sepanjang tempoh itu PDRM Johor akan mempertingkatkan pemantauan terhadap semua aktiviti kempen, ceramah, perhimpunan dan program yang dianjurkan oleh mana-mana parti politik selain kawalan lalu lintas, pengurusan orang ramai serta rondaan pencegahan jenayah.
"Seramai 3,791 pegawai dan anggota bertugas sepanjang tempoh berkempen. PDRM akan mengambil tindakan tegas terhadap sebarang bentuk provokasi, ugutan, hasutan, perbuatan khianat, penyebaran berita palsu, ucapan berbaur kebencian dan mana-mana," katanya.
Ab Rahaman berkata, fasa keempat adalah pada hari pengundian awal dan hari mengundi yang ditetapkan pada 11 Julai ini dengan menempatkan pegawai dan anggota di seluruh pusat mengundi yang ditetapkan oleh SPR.
Jelas beliau, penugasan meliputi kawalan keselamatan pusat mengundi, pengiringan peti undi, rondaan pencegahan jenayah, pengurusan trafik dan tindakan segera terhadap sebarang insiden yang boleh menjejaskan proses pengundian.
"Seramai 11,814 pegawai dan anggota akan diatur gerak semasa hari mengundi agar proses pengundian berjalan lancar.
"Fasa kelima pula adalah pasca pilihan raya melibatkan penugasan akan diteruskan sehingga selesai proses pengiraan undi, pengumuman keputusan rasmi dan keadaan keselamatan kembali stabil sepenuhnya," katanya.
Tambahnya, secara keseluruhan, polis kontinjen Johor akan menggerakkan kekuatan sumber manusia seramai 11,926 orang terdiri daripada 610 pegawai, 11,204 anggota dan 112 pegawai awam dengan kekuatan yang akan diselaraskan mengikut keperluan operasi semasa, termasuk bantuan sumber manusia Bukit Aman dan lain-lain kontinjen.