PETALING JAYA – Seorang wanita yang menjadi perhatian selepas video memaparkan situasi tegang di hadapan sebuah restoran makanan segera berhampiran Lapangan Terbang Senai tular di media sosial, tampil memberikan penjelasan berhubung insiden berkenaan.
Menerusi rakaman audio yang dikongsikan di platform Threads, wanita terbabit menjelaskan kejadian dalam video tersebut bukanlah insiden baharu, sebaliknya berlaku kira-kira empat bulan lalu.
Menurutnya, pelbagai dakwaan yang tersebar di media sosial telah disalah tafsir dan diperbesarkan sehingga mencetuskan persepsi negatif terhadap suaminya.
Katanya, anak mereka menangis ketika kejadian bukan kerana dimarahi, sebaliknya akibat terjatuh di kawasan yang mempunyai batu.
“Video yang tular itu sebenarnya kejadian lama, sekitar empat bulan lalu. Namun, ia baru diviralkan semalam dan banyak perkara telah ditambah sehingga menimbulkan salah faham.
“Anak saya menangis bukan sebab dimarahi. Dia terjatuh kerana kawasan itu berbatu. Selepas itu saya terus mengangkat dan mendukungnya,” katanya.
Wanita berkenaan turut menafikan dakwaan kononnya suaminya menengking atau memarahi anak mereka seperti yang diperkatakan netizen.
Jelasnya, suaminya sememangnya memiliki suara yang lantang dan perkara itu mungkin menyebabkan orang luar tersalah anggap terhadap situasi sebenar.
“Suami saya memang bercakap dengan suara yang kuat. Saya sudah lama hidup bersama dengannya dan faham cara dia bercakap.
“Tetapi orang yang menyebarkan video itu mendakwa suami saya seperti sedang marah atau mahu bergaduh, sedangkan keadaan sebenar tidak begitu,” katanya.