ALOR SETAR - Dua anggota tentera dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas pertuduhan mengangkut migran yang diseludup di Bukit Kayu Hitam dekat sini, bulan lepas.
Mohd Zulhilmi Aqwa A Rahman, 34, dan Mohamad Johan Iskandar Shah Jeffry Pidin, 26, mengangguk faham sebaik pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Sharmila Abdul Samad.
Tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh.
Mengikut pertuduhan, Mohd Zulhilmi Aqwa didakwa mengangkut dua migran lelaki warga Myanmar yang diseludup iaitu Binajo, 19, dan Antoi, 29, menggunakan kereta jenis Toyota Yaris.
Mohamad Johan Iskandar Shah pula dituduh mengangkut seorang migran lelaki warganegara sama yang diseludup iaitu Win Shwe, 61, dengan menggunakan kereta jenis Perodua Bezza.
Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Check Point Foxtrot, Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam kira-kira 7.13 malam, 22 Mei lepas.
Mereka didakwa di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nurfatin Mastura Asri tidak menawarkan jaminan terhadap kedua-dua tertuduh.
Mahkamah kemudian menetapkan 17 Ogos depan untuk sebutan semula kes.
Mohd Zulhilmi Aqwa diwakili peguam, Datuk G. Shanmugam manakala Mohamad Johan Iskandar Shah tidak diwakili peguam. - Bernama