LAREDO – Seorang maut selepas sebuah pesawat perniagaan yang membawa enam individu terhempas dan terbakar di sebuah lebuh raya di bandar Laredo, Texas, Amerika Syarikat (AS) pada Selasa.
Kejadian itu turut mencetuskan suasana cemas apabila orang awam yang berada di lokasi bergegas keluar dari kenderaan masing-masing untuk membantu menyelamatkan mangsa yang terperangkap dalam pesawat berkenaan.
Menurut penyiasat Jabatan Polis Laredo, Jose Baeza, pesawat tersebut terhempas di Lebuh Raya Loop 20 berhampiran sempadan Texas-Mexico kira-kira jam 10 malam waktu tempatan.
Beliau berkata, punca kejadian masih dalam siasatan dan identiti mangsa yang maut belum didedahkan.
"Setakat ini, masih belum dapat dipastikan sama ada mangsa yang terkorban berada di dalam pesawat atau di atas jalan raya ketika nahas berlaku," katanya.
Rakaman kamera papan pemuka yang tular di media sosial menunjukkan pesawat itu menggelongsor laju di atas lebuh raya sebelum merempuh sebuah tiang lampu dan terbakar.
Dalam pada itu, beberapa individu dilihat cuba memecahkan cermin kokpit menggunakan tukul besi dan penyodok bagi menyelamatkan mangsa yang terperangkap.
Seorang saksi, Zayra Garza berkata, dia terkejut apabila menyaksikan kejadian tersebut ketika dalam perjalanan menghantar rakan sekerjanya pulang ke rumah.
“Ia kelihatan seperti babak dalam filem. Saya benar-benar terkejut melihat apa yang berlaku,” katanya.
Pesawat berkenaan dilaporkan terhempas tidak jauh dari Lapangan Terbang Antarabangsa Laredo, manakala pihak berkuasa kini menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar nahas. – Agensi