Industri vape rayu PM campur tangan isu Akta 852, Akta Racun 1952

Iklan
Gabungan lima pertubuhan industri menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri memohon penjelasan kerajaan berkaitan Akta 852 dan Akta Racun 1952.

KUALA LUMPUR – Beberapa persatuan industri vape menggesa Perdana Menteri mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan ketidakpastian undang-undang dan pentadbiran yang timbul susulan keputusan Mahkamah Tinggi pada Mei lalu berkaitan pengecualian nikotin daripada Senarai Racun di bawah Akta Racun 1952.

Gabungan lima pertubuhan industri berkata, situasi semasa telah menimbulkan kekeliruan berhubung hubungan antara Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) dan Akta Racun 1952 (Akta 366), sekali gus menjejaskan operasi perniagaan serta keyakinan pelabur.

Iklan
Iklan

Menurut memorandum yang dikemukakan kepada Perdana Menteri, terdapat laporan bahawa proses pendaftaran produk vape dan cecair bernikotin telah ditangguhkan atau dibekukan tanpa penjelasan rasmi mengenai asas undang-undang tindakan tersebut.

Mereka berkata, keadaan itu menimbulkan ketidakjelasan mengenai status produk yang telah didaftarkan serta permohonan baharu yang sedang diproses, walaupun Akta 852 masih berkuat kuasa.

Iklan

Pengerusi Malaysia E-Vaporizers and Tobacco Alternative Association (MEVTA), Mohamad Neezam Talib yang mewakili kumpulan itu berkata, industri telah mematuhi sepenuhnya keperluan kawal selia yang ditetapkan kerajaan termasuk pendaftaran produk, pelabelan mandatori, ujian makmal, pensijilan teknikal serta pembayaran cukai eksais dan fi kerajaan.

Beliau berkata, ketidakpastian yang berlarutan boleh menjejaskan prinsip kepastian undang-undang, konsistensi pentadbiran awam serta jangkaan sah (legitimate expectation) pihak industri yang telah membuat pelaburan berdasarkan dasar kerajaan.

Iklan

Menurut beliau, industri vape turut menyumbang kepada ekonomi negara menerusi penciptaan peluang pekerjaan, aktiviti pengilangan tempatan, rantaian bekalan dan logistik serta hasil cukai kepada kerajaan.

Katanya, sebarang ketidakkonsistenan dalam pelaksanaan dasar boleh memberi kesan negatif terhadap keyakinan pelabur, kestabilan perniagaan, peluang pekerjaan dan kutipan hasil kerajaan.

Sehubungan itu, katanya, pihak industri memohon kerajaan memberikan penjelasan rasmi mengenai hubungan perundangan antara Akta Racun 1952 dan Akta 852, selain memperincikan status produk vape bernikotin yang telah didaftarkan atau sedang dalam proses pendaftaran.

Mereka turut menggesa agar semua tindakan pentadbiran dilaksanakan berasaskan peruntukan undang-undang yang jelas bagi menjamin kepastian peraturan, kedaulatan undang-undang dan perlindungan kepada syarikat yang telah mematuhi sepenuhnya keperluan kawal selia kerajaan.

Memorandum itu disokong oleh MEVTA, Malaysia Retail Electronic Cigarette Association (MRECA), Persatuan Peniaga Vape Melayu (PPVM), Malaysian Vape Industry Advocacy (MVIA) dan Dewan Perniagaan Vape Malaysia (DPVM).

Menurut memorandum berkenaan, isu tersebut bukan sekadar melibatkan industri vape, malah menyentuh integriti pentadbiran, keyakinan pelabur dan kredibiliti sistem perundangan negara.