Tular video pertengkaran suami isteri depan restoran makanan segera

Iklan
Tangkap layar video kejadian yang tular di media sosial.

KULAI - Tular satu rakaman video yang memaparkan dakwaan insiden pertengkaran melibatkan pasangan suami isteri di sebuah restoran makanan segera berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Senai.

Menerusi hantaran di platform Threads oleh pengguna @sososobrino_, wanita terbabit didakwa sedang bekerja sebelum suaminya hadir ke premis berkenaan dan menjerit sambil menyuruhnya pulang untuk menjaga anak.

Iklan
Iklan

Dalam perkongsian sama, individu itu turut meluahkan pandangan bahawa tidak semua lelaki layak bergelar suami dan bapa, selain mempersoalkan tindakan lelaki berkenaan yang didakwa berkelakuan agresif di tempat awam.

"I witness everything sebab kebetulan kereta park betul- betul sebelah dia. Even lelaki tu siap nak angkat tangan, nak pukul anak bini lagi!" tulisnya.

Iklan

Sementara itu, di ruangan komen, beberapa pengguna media sosial turut meluahkan kebimbangan terhadap keselamatan wanita dan kanak-kanak yang dipercayai terlibat, selain menyeru agar ahli keluarga tampil membantu.

“Kalau ada ahli keluarga atau saudara-mara wanita ini yang nampak video ini, tolong selamatkan dia dan anaknya. Jauhkan mereka daripada individu yang cepat baran,” tulis seorang netizen.

Iklan

Rakaman berkenaan kini terus mencetuskan pelbagai reaksi warganet yang rata-ratanya berharap kebajikan serta keselamatan mangsa diberikan perhatian segera.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee ketika dihubungi pada Rabu memaklumkan setakat ni pihaknya tidak menerima sebarang laporan berhubung kejadian tular itu.