KULAI – Sebanyak 10 set tren komuter baharu Perkhidmatan Shuttle Selatan akan diterima bagi memperkukuhkan sistem pengangkutan awam rel di negeri ini
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kerajaan telah meluluskan perolehan tren baharu itu untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan Komuter Selatan dengan kos dianggarkan bernilai RM200 juta.
"Perkhidmatan Shuttle Selatan yang dilancarkan hari ini, menggunakan aset tren sedia ada susulan siapnya Projek Landasan Berkembar Elektrik (PLBE) Gemas-Johor Bahru yang membolehkan perkhidmatan ETS beroperasi terus ke Johor Bahru Sentral.
“Kita menggunakan set tren sedia ada untuk memulakan perkhidmatan ini. Namun bagi perancangan jangka panjang, kita telah ada projek untuk mendapatkan 10 set Komuter Selatan yang baharu," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Peluncuran Operasi Perkhidmatan Shuttle Selatan di Stesen Keretapi Kulai di sini pada Selasa.
Anthony berkata, tren baharu jenis Electric Multiple Unit (EMU) itu dijangka mengambil masa antara dua hingga tiga tahun untuk diperoleh sebelum dapat digunakan sepenuhnya.
Jelas beliau, kerajaan juga memperuntukkan RM11 juta setahun bagi menampung kos operasi perkhidmatan Shuttle Selatan kerana hasil kutipan tiket semata-mata tidak mampu menampung keseluruhan kos operasi.
Menurutnya, lebih dua juta penduduk di Johor Bahru, Kulai dan Pasir Gudang akan menikmati kemudahan pengangkutan awam yang lebih cekap menerusi pelancaran Perkhidmatan Operasi Shuttle Selatan bermula Selasa.
"Perkhidmatan itu akan beroperasi melalui dua laluan utama iaitu Kulai–JB Sentral–Kulai dan Kempas Baru–Pasir Gudang–Kempas Baru.
"Perjalanan dari Kulai ke JB Sentral mengambil masa kira-kira 40 minit menerusi 10 perjalanan sehari.
"Bagi laluan Kempas Baru ke Pasir Gudang pula, perjalanan dijangka mengambil masa antara 40 hingga 45 minit," katanya.