KULAI - Nilai amanah dalam kepimpinan tidak diukur pada kedudukan atau kuasa, sebaliknya pada tanggungjawab untuk berkhidmat kepada rakyat.
Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi berkata, perbezaan kuasa dan peruntukan antara pemimpin negeri dan Persekutuan, ia tidak seharusnya menjadi penghalang kepada amanah untuk berkhidmat.
"YB Menteri mungkin kita ada perbezaan dalam banyak perkara. Ya, mungkin saya tak berapa tinggi kalau nak dibandingkan dengan YB Menteri, yang jauh lebih besar.
"Besar dari segi kuasanya, besar dari segi peruntukannya. Namun begitu, saya percaya, serendah atau sebesar mana pun kedudukan kita, amanah seorang pemimpin tetap sama bekerja demi kepentingan rakyat dan memudahkan kehidupan mereka," katanya.
Beliau ketika berucap pada Majlis Peluncuran Operasi Shuttle Selatan di Stesen Keretapi Kulai pada Selasa.
Majlis berkenaan menjadi titik penting pertemuan antara Menteri Pengangkutan, Anthony Loke selepas kedua-dua pemimpin itu berbalas kenyataan di media sosial.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor menambah, peranan pemimpin adalah memastikan setiap dasar dan projek pembangunan memberi kesan langsung kepada rakyat tanpa mengira tahap pentadbiran.
"Rakyat tidak menilai siapa yang paling banyak mengumumkan projek. Rakyat menilai siapa yang benar-benar menyampaikan hasil yang terbaik untuk mereka.
"Di situlah sebenarnya rendah atau besarnya seorang pemimpin dinilai.
Onn Hafiz turut menjelaskan walaupun jemputan ke majlis berkenaan diterima dalam tempoh singkat, beliau tetap menyusun semula jadual bagi menghadirkan diri.
“Saya sepatutnya menghadiri makan tengah hari bersama tetamu dari Harvard hari ini, tetapi saya ubah jadual untuk hadir ke sini.
"Namun apapun keadaan, saya faham, walaupun kita sedang berada dalam suasana yang luar biasa, kita harus kekal profesional dalam melaksanakan tugasan dan tanggungjawab sebagai Kerajaan demi kesejahteraan rakyat.
"Saya hadir untuk menyampaikan suara Bangsa Johor, termasuk kebimbangan dan keluhan mereka berkaitan isu-isu pengangkutan di Johor," katanya.