'Saya tahu perbuatan ini salah..' - Lelaki Rohingya ditahan tiada lesen memandu

Iklan
Antara individu warga asing yang ditahan dalam Ops Pewa yang dijalankan pada Selasa.

SUBANG JAYA -"Saya tahu perbuatan ini salah, tapi saya terpaksa,".

Itu luahan seorang lelaki warga Rohingya berusia lingkungan 40an ketika ditahan dalam Operasi Pemandu Warga Asing (PEWA) yang dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor bersama Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) di sekitar Subang Jaya pada Selasa.

Iklan
Iklan

Lelaki Rohingya yang bekerja sebagai pekerja pembersihan itu mengakui menggunakan motosikal dengan cukai jalan yang telah tamat tempoh selain tidak memiliki lesen memandu yang sah.

Menurutnya, dia telah menetap di Malaysia selama kira-kira 15 tahun dan menyara isteri serta anak dengan pendapatan sekitar RM1,400 sebulan.

Iklan

"Duit sewa rumah sahaja RM800 sebulan, motosikal ini saya beli daripada orang lain dan bayar ansuran RM270 sebulan.

"Saya tak boleh beli motosikal sebab saya tiada dokumen lain selain kad UNHCR, jadi motosikal ini didaftarkan atas nama kawan saya," katanya ketika ditemui.

Iklan

Antara motosikal yang didapati diubah suai tanpa kebenaran ditahan untuk tindakan lanjut.

Jelasnya, dia tahu berkaitan tindakannya itu menjadi satu kesalahan namun mendakwa tidak mempunyai pilihan lain.

"Saya tahu apa saya buat ini salah, tiada lesen, cukai jalan pun sudah lama tamat tempoh.

"Tapi apa pilihan saya ada, saya nak minta kerja pun susah,mujur kerja ini sahaja yang ada itu pun rakan ada bantu dapatkan, kalau tiada duit, saya dan keluarga mahu makan apa," katanya.

Operasi bermula seawal jam 10 pagi itu melibatkan beberapa lokasi tumpuan di sekitar bandar raya berkenaan.

Pegawai serta anggota JPJ dan MBSJ yang terlibat melakukan rondaan sebelum menahan dan memeriksa kenderaan yang disyaki dipandu atau ditunggang warga asing.

Sinar Harian yang berpeluang menyertai operasi ini mendapati kebanyakan individu yang ditahan memberi pelbagai alasan termasuk faktor pekerjaan dan kesempitan hidup.

Sementara itu, Timbalan Pengarah JPJ Selangor, Datuk Ahmad Kamarunzaman Mehat berkata, operasi bersepadu yang dilaksanakan bersama MBSJ itu melibatkan seramai 36 anggota JPJ dan 30 anggota MBSJ.

Menurutnya, sebanyak 120 kenderaan telah diperiksa sepanjang operasi berkenaan dengan 34 daripadanya diambil tindakan penguatkuasaan.

"Sebanyak 336 notis telah dikeluarkan melibatkan pelbagai kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan peraturan berkaitan.

"Daripada jumlah itu, 218 adalah Notis Saman (P22), 29 Notis Larangan Penggunaan Kenderaan (PG1), 29 Notis Arah Periksa Kenderaan Seksyen 61(1), 34 Notis Penahanan Kenderaan Seksyen 64(1) dan 26 Notis Temu Siasat Seksyen 114," katanya.