AMPANG - Polis sedang mengesan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun yang dipercayai hilang ketika ke sekolah.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, ibu mangsa memaklumkan kira-kira jam 7.30 pagi, Isnin, dia diberitahu guru kelas anak perempuannya tidak hadir ke sekolah.
"Remaja itu ialah Damiea Qalisya Syafri, 15 dengan ciri-ciri fizikal ialah berketinggian anggaran 152 sentimeter, berat 52 kilogram, berbadan kurus dan berkulit sawo matang.
"Mohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan individu tersebut untuk tampil ke mana-mana balai polis berdekatan atau terus menghubungi Pusat Kawalan IPD Ampang Jaya di talian 03-42897222," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, orang ramai juga boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nur Faizah Mohd Anuar di talian 017-3422804.
Tambahnya, pihak polis menasihatkan orang awam, khususnya ibu bapa dan penjaga agar sentiasa memantau pergerakan kanak-kanak dalam jagaan masing-masing dan tidak membenarkan mereka bersendirian.
"Hubungi pihak polis atau talian kecemasan MERS 999 untuk bantuan segera," ujarnya.