SUBANG JAYA -"Saya terkejut, bukan mahu lari."
Dakwa seorang pemandu lori warga Indonesia yang cuba meloloskan diri ketika ditahan pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam Ops Pemandu Warga Asing (PEWA) di Bandar Puteri, Puchong pada Selasa.
Bagaimanapun cubaan lelaki berusia lingkungan 30-an itu gagal apabila dia berjaya dikesan bersembunyi dalam longkang berdekatan.
Individu terbabit mendakwa menggantikan rakannya untuk memandu lori terbabit ke sebuah tapak pembinaan.
Pemeriksaan lanjut dijalankan mendapati lelaki itu tidak memiliki lesen memandu yang sah selain pasport milknya turut tamat tempoh.
Dalam pada itu, seorang lelaki etnik Rohingya ditahan selepas didapati menunggang motosikal roda tiga tanpa kebenaran.
Individu itu mendakwa menyewa motosikal itu dengan harga sekitar RM10 sehari daripada pemilik yang juga merupakan warga asing.
Lelaki terbabit mendakwa kenderaan itu digunakannya untuk mengangkut barangan terpakai yang dikutip di sekitar kawasan perumahan di kawasan ini.
Semakan dijalankan pegawai JPJ bertugas mendapati individu ini merupakan pemegang kad pelarian UNHCR serta tidak memiliki lesen memandu sah.
Pemeriksaan lanjut turut mendapati individu berkenaan pernah beberapa kali disaman sebelum ini atas pelbagai kesalahan lalu lintas.
Operasi bersepadu bermula jam 10 pagi itu dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor bersama Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).
Kesemua kenderaan yang ditahan dalam operasi ini kemudiannya dibawa ke kawasan Perpustakaan Hipermedia MBSJ di sini untuk tindakan lanjut.
Timbalan Pengarah JPJ Negeri Selangor, Datuk Ahmad Kamarunzaman Mehat berkata, sebanyak 218 kesalahan telah direkodkan sepanjang operasi tersebut dengan kesalahan tertinggi membabitkan tiada atau tidak memiliki Lesen Memandu Kompeten (CDL) sebanyak 50 kes.
"Operasi turut merekodkan sebanyak 56 kes melibatkan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh dan 56 kes berkaitan insurans, diikuti dua kes lesen vokasional, dua kes salah guna LKM, 29 kesalahan teknikal lain serta 23 kesalahan lain.
Beliau menegaskan operasi seumpama itu akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi mengesan serta mengambil tindakan terhadap warga asing yang memandu atau menunggang kenderaan tanpa lesen dan dokumen sah.
"Orang ramai termasuk majikan dan pemilik kenderaan diingatkan supaya tidak membenarkan warga asing menggunakan kenderaan mereka tanpa kelayakan yang ditetapkan.
"Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar peruntukan undang-undang sedia ada demi memastikan keselamatan pengguna jalan raya serta pematuhan kepada peraturan yang ditetapkan," katanya.