GEORGE TOWN - Sebanyak 177 premis makanan di Pulau Pinang diarahkan tutup sementara sepanjang Januari hingga April tahun ini dengan hampir 69 peratus daripadanya melibatkan masalah kawalan makhluk perosak termasuk tikus.
Exco Belia, Sukan dan Kesihatan Pulau Pinang, Daniel Gooi Zi Sen berkata, daripada 4,069 premis makanan yang diperiksa dalam tempoh tersebut hanya 4.3 peratus didapati gagal mematuhi standard kebersihan yang ditetapkan.
Menurutnya, daripada 177 premis yang diarahkan tutup sementara, sebanyak 122 premis atau 68.9 peratus melibatkan masalah kawalan makhluk perosak, 49 premis (27.7 peratus) mempunyai tahap kebersihan tidak memuaskan manakala enam premis lagi (3.4 peratus) dikaitkan dengan kes keracunan makanan.
“Majoriti premis sebenarnya mematuhi standard kebersihan yang ditetapkan namun 177 premis telah diarahkan tutup sementara bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan dan penambahbaikan dilaksanakan,” katanya pada sidang akhbar di Komtar, di sini pada Selasa.
Beliau berkata, sepanjang tempoh sama, sebanyak 1,771 notis di bawah Seksyen 32B Akta Makanan 1983 turut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan berkaitan kebersihan premis dan pengendalian makanan.
Beliau berkata, sebanyak 204 operasi pemeriksaan telah dijalankan di seluruh Pulau Pinang sepanjang tempoh berkenaan, selain tindakan susulan terhadap aduan yang diterima.
Dalam perkembangan sama, Daniel menambah, daripada 4,069 premis yang diperiksa, hanya tujuh kes direkodkan membabitkan kegagalan mematuhi syarat suntikan tifoid dalam kalangan pengendali makanan.
"Premis makanan di hospital, kantin sekolah, kantin kilang dan premis lain yang menyediakan makanan kepada orang ramai juga tertakluk kepada pemeriksaan serta tindakan penguatkuasaan yang sama di bawah Akta Makanan 1983," katanya lagi.
Sementara itu, menurut Daniel, JKNPP menerima sebanyak 241 aduan berkaitan premis makanan sepanjang tahun ini.
"Daripada jumlah itu, 185 aduan melibatkan kebersihan restoran dan kedai makan, lima aduan berkaitan kantin sekolah, dapur taska, prasekolah dan asrama, lapan aduan membabitkan medan selera, sembilan aduan warung atau gerai, satu aduan perkhidmatan katering, 12 aduan pasar raya, satu aduan p-hailing, dua aduan kilang pemprosesan makanan dan 18 aduan lain-lain," jelasnya.
Menurutnya, tindakan penutupan premis bukan bertujuan menghukum pengusaha makanan sebaliknya merupakan langkah pencegahan bagi memastikan makanan yang dijual kepada orang ramai selamat dan tidak mendatangkan risiko kepada kesihatan pengguna.
“Kita menghargai sumbangan pengusaha makanan yang menjadi antara pemangkin utama ekonomi negeri. Namun aspek kebersihan dan keselamatan makanan tidak boleh dikompromi kerana kesihatan rakyat mesti sentiasa menjadi keutamaan.
“Sebagai sebuah negeri pelancongan yang terkenal, Pulau Pinang mempunyai tanggungjawab memastikan premis makanan menyediakan makanan yang memenuhi standard kebersihan tertentu supaya tidak menjadi ancaman kepada kesihatan rakyat tempatan mahupun pelancong,” katanya.
Beliau turut meminta semua pengusaha premis makanan supaya terus menitikberatkan kebersihan premis, penyelenggaraan peralatan, kawalan makhluk perosak serta amalan pengendalian makanan yang selamat bagi mengelakkan tindakan penguatkuasaan dikenakan.
Dalam pada itu, Daniel menafikan dakwaan kononnya premis makanan yang menggunakan perkhidmatan syarikat kawalan makhluk perosak tertentu akan terlepas daripada tindakan penguatkuasaan JKNPP.
“Kita ada menerima aduan mendakwa jika premis menggunakan syarikat kawalan makhluk perosak tertentu, mereka tidak akan dikenakan tindakan.
“Itu adalah tomahan yang tidak benar sama sekali kerana semua tindakan penguatkuasaan dijalankan secara profesional dan tanpa pilih kasih,” katanya.
Beliau turut menolak dakwaan bahawa tindakan hanya dikenakan terhadap premis makanan yang diusahakan oleh kaum tertentu.
“Terdapat juga tuduhan di media sosial bahawa kita hanya mengambil tindakan terhadap premis makanan milik kaum tertentu dan tidak terhadap kaum lain.
“Ini juga tidak benar kerana penguatkuasaan dijalankan secara profesional mengikut Akta Makanan 1983 dengan menggunakan senarai semak dan piawaian yang sama untuk semua premis makanan tanpa mengira saiz atau pemilik,” katanya.
Mengulas mengenai premis yang melakukan kesalahan berulang, Daniel mengakui terdapat pengusaha yang masih gagal mematuhi standard kebersihan walaupun tindakan dan nasihat telah diberikan.
“Sememangnya ada kes berulang. Jika premis masih gagal mencapai piawaian kebersihan yang ditetapkan, tindakan penguatkuasaan berulang juga akan diambil,” katanya.
Beliau juga memohon orang ramai yang mempunyai aduan berkaitan kebersihan makanan agar menyalurkannya melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) bagi membolehkan siasatan dan tindakan lanjut diambil pihak berkuasa.