PEKAN - Lima individu termasuk seorang jururawat wanita dari klinik kerajaan antara direman bagi membantu siasatan berhubung kes jual beli sijil cuti sakit (MC) disyaki tidak sah di daerah ini.
Perintah tersebut dikeluarkan Majistret Melody Woon Sze Mun selepas mendapat permohonan daripada pihak polis susulan penahanan kesemua suspek tersebut.
Dalam prosiding itu, Melody membenarkan empat suspek ditahan selama empat hari sehingga 19 Jun, manakala seorang lagi selama tiga hari.
Kes berkenaan terbongkar selepas Pejabat Kesihatan Daerah Pekan menerima maklumat pada 12 Mei lalu mengenai kegiatan penjualan sijil MC yang didakwa berlaku dalam kalangan pekerja sebuah kilang di daerah ini.
Bertindak atas maklumat dan risikan, polis menahan lima suspek berusia antara 30 hingga 55 tahun dalam operasi di sekitar daerah Pekan pada 15 Jun.
Mereka terdiri daripada tiga individu yang disyaki sebagai orang tengah, seorang penjawat awam yang dipercayai membekalkan MC tidak sah serta seorang lagi individu yang dipercayai mendapatkan dan menggunakan dokumen berkenaan.
Hasil semakan mendapati MC berkenaan menggunakan nama dan cop seorang pegawai perubatan yang telah bertukar tempat bertugas sejak 2023.
Siasatan lanjut turut mendapati nombor siri MC yang digunakan merupakan sebahagian daripada buku MC rasmi yang telah diedarkan kepada sebuah klinik kerajaan di daerah ini.
Polis percaya MC berkenaan dijual pada harga antara RM50 hingga RM200 sekeping melalui beberapa individu yang bertindak sebagai orang tengah bagi mendapatkan pelanggan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 468 Kanun Keseksaan kerana pemalsuan bagi tujuan menipu dan Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.