Insiden tular ditumbuk: Warga emas serah diri, pemuda ditumbuk pilih berdamai

Iklan
Ahmad Zhafri (kanan) memilih untuk berdamai dengan warga emas yang menumbuknya. Foto: TikTok Ahmad Zhafri Samsudin

SHAH ALAM - “Dengan hati yang terbuka dan penuh keinsafan, saya memilih untuk memaafkan beliau.”

Demikian luah Ahmad Zhafri Samsudin susulan insiden beliau ditumbuk oleh seorang warga emas ketika beratur membeli nasi lemak.

Iklan
Iklan

Dalam satu kenyataan, Ahmad Zhafri berkata, beliau berharap kejadian itu akan dijadikan pengajaran oleh warga emas berkenaan.

“Diharapkan perkara seperti ini tidak akan berulang lagi. Namun, sekiranya insiden yang sama berlaku pada masa hadapan, saya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya.

Iklan

“Saya tidak memilih kekerasan. Saya memilih undang-undang,” katanya menerusi TikTok.

Sebelum ini, tular seorang lelaki mendakwa dirinya menjadi mangsa serangan ketika sedang beratur untuk membeli sarapan di sebuah premis yang menjual nasi lemak di sekitar Puncak Alam.

Iklan

Difahamkan, kejadian berlaku selepas dia terbatuk di belakang seorang lelaki warga emas ketika mereka sedang menunggu giliran.

Warga emas itu tiba-tiba naik angin lalu menumbuk mukanya. Mangsa juga ditolak serta ditengking secara tiba-tiba di hadapan pelanggan lain.

Ahmad Zhafri turut menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pegawai penyiasat serta semua anggota yang terlibat dalam usaha mengesan warga emas berkenaan.

“Alhamdulillah, selepas hampir tiga hari, hasil usaha berterusan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), khususnya Unit Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh, individu yang terlibat telah tampil menyerah diri dan hadir untuk memberikan keterangan.

“Semoga kejadian ini menjadi peringatan bahawa kekerasan bukanlah jalan penyelesaian dan setiap tindakan mempunyai akibat serta tanggungjawabnya,” ujarnya.