Piala Dunia lubuk judi siber

Iklan
Piala Dunia 2026 turut membuka ruang peningkatan judi dalam talian yang semakin agresif. Gambar hiasan

KEMERIAHAN Piala Dunia 2026 bukan sahaja mencetuskan keterujaan dalam kalangan peminat bola sepak, malah turut membuka ruang peningkatan judi dalam talian yang semakin agresif.

Sindiket perjudian kini tidak lagi bergantung kaedah konvensional, sebaliknya memanfaatkan laman sesawang, aplikasi mudah alih serta media sosial bagi menarik lebih ramai pelanggan.

Iklan
Iklan

Kebimbangan terhadap fenomena itu turut mendapat perhatian kerajaan apabila Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil memberi amaran bahawa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) tidak akan berkompromi terhadap sebarang kandungan atau pautan berunsur perjudian dalam talian sepanjang kempen Piala Dunia berlangsung.

Beliau turut menggesa orang ramai menyalurkan aduan kepada MCMC sekiranya mengesan promosi, iklan atau portal perjudian bagi membolehkan tindakan penguatkuasaan segera diambil.

Iklan

Piala Dunia sering dijadikan platform oleh sindiket untuk meningkatkan keuntungan kerana minat luar biasa masyarakat terhadap keputusan perlawanan dan prestasi pasukan bertanding.

Dengan hanya beberapa sentuhan pada telefon pintar, individu boleh membuat pertaruhan bila-bila masa tanpa perlu bersemuka dengan ejen.

Iklan

Perubahan landskap perjudian daripada fizikal kepada digital menjadikan penguatkuasaan lebih kompleks.

Kebanyakan laman perjudian beroperasi dari luar negara menggunakan pelayan asing serta identiti palsu bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.

Situasi ini menyebabkan tindakan menyekat dan menutup operasi memerlukan kerjasama antara agensi penguat kuasa, institusi kewangan dan penyedia platform digital.

Malah, polis sendiri menjangkakan peningkatan aktiviti pertaruhan tanpa lesen sepanjang kejohanan berlangsung. Justeru, Polis Diraja Malaysia (PDRM) melancarkan Op Soga XI bagi membanteras kegiatan perjudian dan pertaruhan haram yang dipercayai akan memuncak sepanjang tempoh Piala Dunia.

Operasi itu memberi fokus pemantauan serta tindakan ke atas sindiket perjudian dan pertaruhan secara dalam talian, selain platform atau laman sesawang yang menjalankan aktiviti perjudian dan pertaruhan dalam talian serta promosi melalui akaun media sosial.

Operasi tersebut turut memberi tumpuan terhadap aktiviti perjudian dan pertaruhan secara fizikal melibatkan premis perjudian dan pertaruhan haram, individu yang bertaruh, ejen pertaruhan dan premis atau individu yang mempromosikan perjudian dan pertaruhan secara fizikal.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar, operasi itu turut melibatkan kerjasama dengan MCMC dan Bank Negara Malaysia bagi mengenal pasti serta menyekat platform dan transaksi kewangan yang digunakan sindiket perjudian.

Apa yang lebih membimbangkan ialah kemampuan sindiket mempengaruhi golongan muda melalui iklan berbayar dan kandungan promosi yang kelihatan sah di media sosial.

Tawaran kredit percuma, bonus pendaftaran dan peluang memenangi wang lumayan sering digunakan sebagai umpan untuk menarik pelanggan baharu.

Individu yang pada mulanya sekadar mencuba akhirnya berisiko terjerumus ke dalam kitaran ketagihan apabila cuba menebus kerugian yang dialami.

Hakikatnya perjudian dalam talian memberi kesan kepada institusi keluarga, kestabilan kewangan individu dan kesejahteraan sosial masyarakat.

Ramai terjebak bermula dengan pertaruhan kecil sebelum kehilangan kawalan sehingga sanggup berhutang atau menggunakan wang simpanan untuk terus berjudi.

Justeru, usaha membanteras perjudian dalam talian sempena Piala Dunia tidak boleh bergantung tindakan penguatkuasaan semata-mata.

Kesedaran masyarakat, pemantauan ibu bapa dan kerjasama pengguna internet untuk melaporkan kandungan mencurigakan adalah sama penting.

*Ahmad Ismadi Ismail ialah wartawan Sinar Harian