Demi Asiah, tegakkan keadilan

Iklan
Semoga keadilan buat Asiah dapat ditegakkan agar pemergiannya tidak berlalu begitu sahaja.

KITA mungkin tidak mengenali Asiah Ahmad Syahir, 5, secara peribadi, namun kisah pemergiannya cukup dekat di hati setiap rakyat Malaysia.

Pemergian Asiah dalam nahas membabitkan enam kenderaan di Jalan Kuching, Kuala Lumpur, pada 10 Oktober lalu bukan sekadar berita kemalangan jalan raya, sebaliknya tragedi meragut masa depan seorang anak kecil dan mengubah kehidupan keluarganya buat selama-lamanya.

Iklan
Iklan

Lebih memilukan, Asiah ketika itu dalam perjalanan pulang bersama ibu bapa dan adiknya selepas bersiar-siar serta makan di Keramat maut selepas kereta Perodua Bezza dinaiki bersama keluarganya dirempuh kereta dipandu melulu.

Bapanya, Ahmad Syahir Mohammad Nor Izam, yang bertugas sebagai bilal, dipercayai perlu pulang untuk melaungkan azan Asar.

Iklan

Perjalanan pulang yang sepatutnya berakhir dengan mereka sekeluarga berkumpul di rumah bertukar menjadi detik paling menyedihkan dalam hidup mereka.

Bayangkan perasaan seorang ayah yang mendukung anaknya dalam keadaan cemas, mengharapkan si kecil itu masih boleh diselamatkan.

Iklan

Bayangkan juga hati seorang ibu yang terpaksa menerima hakikat bahawa anak yang dibelai dan dijaga selama ini sudah pergi buat selama-lamanya.

Luahan bapanya bahawa Asiah tidak akan kembali, namun beliau mahukan keadilan, menggambarkan betapa berat kehilangan yang terpaksa ditanggung keluarga itu.

Ketika dihubungi Sinar Harian, Ahmad Syahir berkata, beliau bersama isteri dan seluruh keluarga reda menerima pemergian anak mereka sebagai ketentuan ALLAH SWT, namun berharap keadilan dapat ditegakkan menerusi proses undang-undang.

Beliau berkata, keluarganya akan berusaha sedaya upaya mendapatkan pembelaan sewajarnya buat arwah, selain menyerahkan sepenuhnya siasatan kes itu kepada pihak polis.

Pada Khamis, pemandu kereta BYD Seal yang terbabit dalam nahas berkenaan didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan, termasuk memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian Asiah.

Bagaimanapun, tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan.

Semoga keadilan buat Asiah dapat ditegakkan agar pemergiannya tidak berlalu begitu sahaja.

Sekurang-kurangnya, keadilan itu menjadi pembelaan buat anak kecil yang tidak sempat membesar, selain memberi sedikit kekuatan kepada keluarganya untuk meneruskan kehidupan tanpa insan tersayang.

Asiah, bermainlah di taman syurga.

Semoga ALLAH SWT mencucuri rahmat ke atas rohmu dan memberikan ketabahan kepada kedua-dua ibu bapamu serta seluruh keluarga yang ditinggalkan.

Al-Fatihah buat Asiah Ahmad Syahir.