Bilal pencinta al-Quran meninggal dunia selepas laung azan

Iklan
Jenazah Allahyarham Ahmad Haziq dibawa ke Masjid Al-Firdaus Bandar Baru Selayang untuk dimandikan sebelum disolatkan di masjid itu pada Isnin.

SELAYANG – Bilal Masjid Al-Firdaus Bandar Baru Selayang, Allahyarham Ahmad Haziq Jailani, 33, yang meninggal dunia selepas rebah sejurus selesai melaungkan azan Maghrib pada Ahad, dikenali sebagai insan yang sentiasa mendampingi al-Quran.

Bapanya, Jailani Alib, 64, berkata, Allahyarham Ahmad Haziq sering meluangkan masa membaca al-Quran selepas menunaikan solat Maghrib atau Isyak di masjid.

Iklan
Iklan

"Arwah memang rapat dengan al-Quran dan memang menjadi amalannya sejak dari dulu lagi,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Menurut Jailani, Allahyarham yang merupakan anak ketiga daripada lima beradik juga aktif dalam pelbagai aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan.

Iklan

Katanya, selain menjalankan tugas sebagai bilal, Ahmad Haziq turut mengajar kumpulan qasidah dan sering membantu apabila dipanggil untuk urusan berkaitan masjid atau program keagamaan.

"Arwah anak yang baik dan suka membantu orang lain, kalau ada yang perlukan pertolongan dia jarang menghampakan," ujarnya.

Iklan

Solat jenazah yang diadakan di Masjid Al-Firdaus pada Isnin dipenuhi jemaah yang hadir untuk memberikan penghormatan terakhir.

Jailani berkata, Allahyarham juga seorang yang ceria dan gemar bergurau dengan ahli keluarga serta disenangi ramai kerana sikapnya yang mudah mesra.

"Arwah suka bergurau, rapat dengan adik-beradik dan kalau di rumah, dia memang ceria tidak pendiam,” katanya.

Mengulas kejadian itu, Jailani berkata, dia menerima panggilan daripada ahli keluarga yang memaklumkan Ahmad Haziq rebah sejurus selesai melaungkan azan Maghrib di Masjid Al-Firdaus.

Katanya, jemaah yang berada di lokasi ketika itu segera menghubungi ambulans untuk mendapatkan bantuan.

"Waktu kejadian, jemaah tidak tahu cara untuk melakukan CPR (bantuan pernafasan) dan hanya menunggu ambulans, namun arwah ketika itu sudah tidak memberi sebarang respons,” katanya.

Menurutnya, Allahyarham kemudian dibawa ke Hospital Selayang sebelum disahkan meninggal dunia.

Jailani berkata, pemergian Allahyarham turut dirasai ramai apabila solat jenazah yang diadakan di Masjid Al-Firdaus pada Isnin dipenuhi jemaah yang hadir untuk memberikan penghormatan terakhir.

"Ramai yang datang dan saya sendiri tidak sangka begitu ramai hingga memenuhi saf,” ujarnya.

Allahyarham Ahmad Haziq meninggalkan seorang isteri dan seorang anak lelaki berusia lapan tahun.

Jenazah Ahmad Haziq dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Selayang Baru kira-kira jam 11.30 pagi Isnin.