Hujan lima kali ganda daripada biasa punca KL banjir kilat

Iklan
Fadlun (gambar kecil) berkata, hujan terkumpul yang tinggi di kawasan tadahan Ampang dan Lembah Keramat menyebabkan aliran air permukaan serta paras sungai di kawasan hilir meningkat.

PUTRAJAYA - Hujan lebat yang melanda Lembah Klang pada petang Ahad menyaksikan Lembah Keramat merekodkan jumlah hujan terkumpul sehingga 155.5 milimeter (mm), lebih lima kali ganda berbanding kadar biasa sekitar 30mm.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud berkata, hujan lebat hingga sangat lebat melanda kawasan hulu tadahan termasuk Ampang, Klang Gates dan Lembah Keramat, Selangor pada 20 September.

Iklan
Iklan

Menurutnya, bacaan hujan terkumpul sehingga jam 5.30 petang menunjukkan Lembah Keramat merekodkan jumlah tertinggi iaitu 155.5mm, diikuti Kampung Berembang sebanyak 145.5mm dan stesen Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Ampang sebanyak 133.5mm.

“Kebiasaan 30 milimeter, semalam tiga kali ganda, lima kali ganda 155 kadar hujan lebat,” katanya pada sidang media Bazar Deepavali 2026 di sini, Isnin.

Iklan

Fadlun berkata, hujan terkumpul yang tinggi di kawasan tadahan Ampang dan Lembah Keramat menyebabkan aliran air permukaan serta paras sungai di kawasan hilir meningkat.

Katanya, paras Sungai Klang di Lembah Keramat mencapai status bahaya pada 51.01 meter, manakala Sungai Bunus dan Sungai Kerayong di Razak Mansion turut berada pada tahap bahaya.

Iklan

“Yang lainnya dalam keadaan amaran dan waspada,” jelasnya.

Beliau berkata, beberapa kawasan sekitar Ampang, UK Heights, Keramat dan Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) turut menerima limpahan air ke jalan raya serta kawasan perumahan.

Bagaimanapun, berdasarkan maklumat daripada Bilik Gerakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), kejadian di kawasan Kuala Lumpur membabitkan air bertakung dalam tempoh singkat antara 15 hingga 30 minit.

Antara kawasan yang terjejas ialah Jalan Pudu berhampiran Hospital Tung Shin, Jalan Genting Klang, Jalan Sultan, Kampung Periuk, Kampung Bharu, Flat PKNS Jalan Tun Razak, Wisma KLAIDC di Jalan Yap Kwan Seng dan Blok C, Seksyen 10 Wangsa Maju.

Menurutnya, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) turut mengeluarkan pengumuman pada jam 3.30 petang mengenai jangkaan hujan lebat di Kuala Lumpur dan Putrajaya.