Ahli perniagaan sambar RM6,000 di Sungai Kajang

Iklan
Mohd Saiful (tiga dari kanan) bersama pemenang Pertandingan Memancing Terbuka Kuala Selangor di Pantai Sungai Kajang.

TANJUNG KARANG – Pengalaman lebih 25 tahun dalam dunia memancing memberi tuah kepada ahli perniagaan, Mohd Raof Pedro Borbas, 42, apabila muncul juara Pertandingan Memancing Terbuka Kuala Selangor di Pantai Sungai Kajang di sini pada Ahad.

Mohd Raof yang berasal dari Sabah dan menetap di Manjung, Perak menewaskan hampir 300 peserta selepas menaikkan ikan belukang seberat 1.085 kilogram (kg) pada jam 12.28 tengah hari.

Iklan
Iklan

Kemenangan itu membolehkan beliau membawa pulang hadiah wang tunai RM6,000.

Tempat kedua menjadi milik Mohd Razif Salasa, 38, menerusi tangkapan ikan belukang seberat 0.815kg sekali gus membawa pulang RM1,000.

Iklan

Mohd Aminuddin Harun, 31, pula menduduki tempat ketiga selepas menaikkan spesies sama seberat 0.715kg dan menerima RM500.

Hadiah disampaikan Penghulu Mukim Tanjung Karang 1, Mohd Saiful Abdul Khair.

Iklan

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Sungai Kajang, Mohd Hashim Ismail dan wakil Mupsac, Mohd Zam Sharani.

Mohd Raof berkata, beliau yang sudah lebih 10 kali muncul juara dalam pertandingan memancing hanya menggunakan umpan perumpun dan udang hidup pada pertandingan kali ini.

“Ini acara santai kerana hadiah yang ditawarkan tidak terlalu tinggi, jadi saya tidak terlalu tertekan untuk mengejar kejuaraan, sebaliknya lebih kepada bertemu rakan-rakan pemancing.

“Dalam pemilihan lokasi juga, saya tidak tergesa-gesa membuat tempahan awal. Saya hanya datang ke lokasi kira-kira sejam sebelum acara bermula dan memilih tempat yang masih kosong.

“Alhamdulillah, lokasi dipilih tepat dan saya berjaya menaikkan beberapa ekor ikan dengan tiga daripadanya berada dalam kelompok 10 tangkapan terbaik,” katanya.

Pertandingan berkenaan diadakan bagi mengetengahkan Pantai Sungai Kajang sebagai antara lokasi aktiviti memancing pantai atau ‘surfcasting’ selain menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.

Pantai berkenaan dilihat mempunyai potensi untuk aktiviti tersebut berikutan kawasan pesisirnya yang panjang dan mempunyai pelbagai spesies ikan.

Bagaimanapun, kemudahan di kawasan itu terutama laluan di kawasan ban serta tempat letak kenderaan dilihat perlu ditambah baik bagi memudahkan pergerakan pengunjung dan pemancing.